DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Diraja Sempena Perasmian Persidangan Perwakilan Kebangsaan Ke-34 PPKM 2023.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyempurnakan Montaj Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-34 PPKM.
IPOH, 26 Julai 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Diraja Sempena Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Kebangsaan Ke-34 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) 2023 di Casuarina@Meru, di sini.
Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim serta YAD Presiden PPKM, Tan Sri Wan Mahmood bin Pawan Teh.
YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, berbekalkan pengalaman sebagai penjawat awam dalam pelbagai bidang meliputi antaranya pentadbiran jabatan, perkhidmatan pendidikan dan keselamatan menjadikan golongan pesara sebahagian daripada aset penting dalam merekayasa pembangunan negara.
"Dunia perkhidmatan awam telah mengajar segala-galanya mengenai kehidupan, pengorbanan dan kejayaan.
"Latihan, pengalaman, pergaulan, hubungan dengan rakan-rakan dan rangkaian jabatan tempat kita bekerja menjadi aset dan pembelajaran yang sangat berharga untuk memberi perkhidmatan terbaik," katanya.
Hadir sama YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, tanpa disedari, segala ilmu, kemahiran dan pengalaman menjadi aset penting dan bernilai apabila kita menempuhi dunia persaraan.
"Di negeri Perak ini sahaja, terdapat kira-kira 60,000 pesara dan sebahagian besarnya menjadi ahli-ahli masyarakat yang memainkan peranan penting di peringkat kampung dan kejiranan masing-masing sekaligus terlibat secara tidak langsung dalam mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan negeri.
"Bersandarkan keyakinan itu, Kerajaan Negeri Perak sentiasa mengalu-alukan pandangan dan saranan para pesara dengan berkongsi pengalaman berharga mereka semasa bertugas sebagai penjawat awam," ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyempurnakan Montaj Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-34 PPKM.