Perak Lancar Taman Industri Halal Perak@Lekir.
Projek berkeluasan 106.57 ekar ini akan menjadi nadi ekonomi baru dan sebuah platform bagi pengusaha dan pemilik perniagaan halal.
MANJUNG, 21 Ogos 2023- Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak telah melancarkan Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) di Batu 9 Lekir, Mukim Lekir yang akan beroperasi pada tahun 2025.
Pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad ketika Majlis Pecah Tanah Projek Taman Industri Halal Perak@Lekir, pagi ini.
Menurutnya, projek berkeluasan 106.57 ekar ini akan menjadi nadi ekonomi baru dan sebuah platform bagi pengusaha dan pemilik perniagaan halal untuk membawa produk mereka ke pasaran global.
"Ini adalah kesinambungan daripada program lembu tempatan yang dilaksanakan oleh SADC Perak sejak 2022 dengan matlamat utamanya untuk meningkatkan pengeluaran daging halal di Malaysia, memperkukuh rantai bekalan yang mampan dan berteraskan integriti, memberikan nilai tambah kepada pengeluaran daging, serta memperluaskan jangkauan produk halal Perak", jelasnya.
Tambahnya lagi, pembangunan ini juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat yang sedang mencari lokasi strategik, fasiliti yang canggih dan ekosistem yang menyokong pertumbuhan dan inovasi untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam Perak HIP kelak.
"Gross Development Value (GDV) dijangka akan mencapai RM1 bilion dan akan menawarkan harga tanah industri yang kompetitif setanding dengan kawasan industri yang lain.
"SADC Perak juga komited untuk melabur sejumlah RM20 juta dalam tempoh 2 tahun pertama termasuk untuk pembinaan jejambat bagi menghubungkan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) terus kepada Perak HIP bagi memastikan kelancaran logistik," katanya ketika sidang media.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan replika cek bernilai RM20 juta daripada Agrobank kepada SADC Perak bagi membiayai peserta-peserta yang terlibat di dalam Perak HIP.
Selain itu, penyerahan surat sokongan bagi cadangan pembangunan Perak HIP antara Maybank Islamic Berhad dan SADC Perak serta memorandum usahawan antara Perak Agro Farm Sdn Bhd, Ladang Lekir Sdn Bhd dan Eurofresh Sdn Bhd dalam pembangunan industri lembu tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Tuan Haji Yahanis bin Yahya berkata dalam ucapannya, Perak HIP bukan semata-mata sebuah taman industri biasa.
"Ia merupakan sebuah taman yang bakal dilengkapi dengan pusat pemprosesan daging, kompleks penyembelihan dan pemprosesan, pusat R&D Daging Halal, pusat pemprosesan ayam, dan kilang pemprosesan makanan haiwan, taman ini akan menjadi hab kecemerlangan dalam industri makanan halal," katanya kepada semua hadirin.
Hadir sama, YDH. Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Seri Bijaya, Lt. Kol. (B), Dato' Shaharudin bin Haji Nazari; Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Encik Shamsul Ridzuan bin Idris; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Mohd Zolkafly bin Harun serta YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Encik Loh Sze Yee.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.