Skip to main content

YAB Perdana Menteri Umum Peruntukan Tambahan Bagi Jalan Raya Timur Barat.

Ketibaan YAB Perdana Menteri diiring dengan tarian Orang Asli.

GERIK, 24 Ogos 2023- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM30 juta bagi kerja-kerja naik taraf Jalan Raya Timur Barat (Jalan Persekutuan FT04) yang menghubungkan Gerik-Jeli.

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim mengumumkan perkara tersebut ketika Majlis Pelancaran Kempen MYJALAN KKR di Jeti Awam, Pulau Banding, tengah hari ini.

Menurutnya, untuk permohonan kewangan yang lain, beliau akan mempertimbangkan permohonan tersebut dalam Belanjawan MADANI ke-2 bulan Oktober.

"Untuk jalan-jalan ini walaupun permintaan itu banyak, tetapi nanti saya akan kaji dalam Belanjawan MADANI ke-2, bulan Oktober. Hari ini, saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan," katanya dalam ucapan di majlis tersebut.

Pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan pemberian wang sagu hati sebanyak RM1,000 kepada 87 orang bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat untuk menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan.

Menurut YB Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Alexander Nanta Linggi, pembinaan laluan ini yang juga merupakan ‘Lebuhraya Pertahanan’ dibina sebagai salah satu strategi melumpuhkan pergerakan pengganas komunis pada Era Pasca Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1970.

"Usaha ini tidak mudah, yang menyaksikan pasukan Jalan Kerja Raya (JKR) diserang oleh komunis, mengorbankan tiga nyawa dan meninggalkan kecederaan kekal kepada pasukan JKR lain yang turut terlibat. Kerja pembinaan diteruskan, walaupun kesan serangan masih terkesan kepada semua. Inilah jasa setia bakti pasukan JKR, perwira yang tidak dijulang," katanya dalam ucapan alu-aluan.

Terdahulu, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam ucapannya momohon peruntukan tambahan untuk beberapa jalan Persekutuan yang memerlukan penambah baikan.

Antaranya adalah kos sebanyak RM40 juta di Jalan Raya Timur Barat, RM35 juta bagi Jalan Kuala Kangsar ke Gerik dan Pengkalan Hulu, RM19 juta untuk laluan Simpang Pulai ke Blue Valley, sebanyak RM12 juta untuk Jalan Tapah - Cameron Highland.

Hadir sama, YB Timbalan Kerja Raya, Dato' Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad; YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah; Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad; Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool serta YB Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar bin Jamaluddin.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.