DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Mengurniakan Watikah Kepada Ahli MPM.

Ketibaan baginda diiringi oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim
IPOH, 30 Ogos 2023 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mengurniakan watikah Ahli Majlis Perundingan Masjid (MPM) Negeri Perak Darul Ridzuan kepada 55 orang di Kompleks Islam Darul Ridzuan.
MPM dianggotai oleh seorang pengerusi iaitu Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) atau seorang yang dilantik oleh baginda, 2 orang ahli yang dilantik oleh baginda serta 3 orang ahli atas nama jawatan yang menyandang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang dipertanggungjawabkan bagi hal ehwal agama Islam, Mufti Negeri Perak dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.
Ia turut dianggotai tidak lebih 50 orang ahli yang mewakili masjid (tidak kurang 10 orang dalam usia belia dan tidak kurang 10 orang muslimat) serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk sebagai setiausaha.
Baginda bertitah, semoga melalui MPM ini akan berlaku perubahan minda dan perubahan budaya, menghasilkan ramuan dan kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid.
"Membangunkan, memakmurkan dan mengimarahkan masjid ialah sunah. Ahli-ahli MPM hendaklah berfikiran besar, membolehkan masjid berperanan secara lebih dinamik lagi bermakna, dikeluarkan dari kotak sempit, dimerdekakan dari kepompong pemikiran lama yang telah diformulasikan secara terancang oleh penjajah pada masa lalu, dengan tujuan tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan-urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit," titah baginda.
Pada majlis yang sama, baginda turut berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIPk yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Shahrul Azam bin Shaari dan UDA Holdings Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sr. Salem bin Khailany.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin serta Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini.
Sumber : Korporat, SUK Perak.