Skip to main content

Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.

Kontinjen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak

IPOH, 31 Ogos 2023 - Seramai 25,000 orang membanjiri pekarangan Stadium Indera Mulia sejak kira-kira jam 6.00 pagi bagi Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.

Acara dimulakan sebaik keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim serta putera dan puteri baginda, YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan YTM Raja Dato' Seri Nazira Safya binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kira-kira jam 8.20 pagi.

Sejurus tiba, baginda berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen, Kem Sangro, Taiping dibawah pimpinan Kolonel Abdul Rahim bin Hamzah manakala ketua KKU diketuai oleh Mejar Mohd Nurul bin Jasan dan Pegawai Waran 1, Mohamad Fairus Nizam bin Zabory, selaku mejar perbarisan sementara pegawai pembawa panji-panji adalah Leftenan Mohamad Afiq bin Haris.

KKU diiringi pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu kebesaran Negeri Perak.

Majlis sambutan diteruskan dengan lafaz ikrar Hari Kebangsaan oleh 16 orang Pelajar Kolej Pra Universiti, KPM, Seri Putra di hadapan pentas utama dan persembahan nyanyian koir seramai 100 orang pelajar gabungan 2 buah sekolah iaitu SMJK Sam Tet dan SMJK Ave Maria Convent yang menyampaikan 3 buah lagu, iaitu Lagu Malaysia MADANI Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, Lagu Tanggal 31 dan Jalur Gemilang.

Persembahan muzikal yang mengetengahkan elemen perpaduan dan penyatuan pelbagai bangsa dalam kehidupan Malaysia yang maju dan aman damai turut mencuri perhatian penonton.

Acara kemuncak pada majlis sambutan ini adalah perarakan masuk 91 kontinjen melibatkan seramai 4,855 orang peserta yang terdiri daripada 65 kontinjen kawad yang disertai oleh jabatan kerajaan, pasukan beruniform, daerah, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, sekolah, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun dan swasta.

Ia turut melibatkan 14 pasukan pancaragam sekolah dan 8 kontinjen kenderaan yang disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, NGO dan swasta.

Turut berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan,  Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato ' Seri Saarani bin Mohamad, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.