Skip to main content

JAKPAW Anjur Projek Jiwa Murni Kelestarian Alam Tahun 2023.

Penganjuran program ini turut membuktikan komitmen negeri Perak untuk capai sasaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang bermula pada tahun 2021

MANJUNG, 23 September 2023 – Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Perak buat julung kalinya menganjurkan Projek Jiwa Murni Kelestarian Alam Tahun 2023 yang berkonsepkan cinta terhadap alam sekitar untuk sentiasa memelihara dan memulihara keindahan alam sekitar.

Program dimulakan dengan pelepasan anak penyu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YB Kolonel (Kehormat) Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim merangkap Pengerusi JAKPAW Negeri Perak di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pasir Panjang, Segari.

Sebanyak 29 ekor anak penyu yang berusia kira-kira tiga minggu dilepaskan seawal jam 7.00 pagi.

Program diteruskan lagi dengan aktiviti penanaman anak pokok bakau di Hutan Simpan Tanjung Burung.

Turut sama dengan beliau adalah Komander Rejimen 503 Askar Wataniah, Kolonel Syed Nasir bin Sayed Mahadi; Timbalan Komander Rejimen 503 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Ahmad Sabri bin Baharuddin; Ketua Penolong Pengarah (Silvikultur dan Kepelbagaian Biologi), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Encik Azmi bin Mohd Zain dan Ketua Pangkalan, Cawangan Perlindungan Sumber Kampung Acheh, Pejabat Perikanan Negeri Perak, Mohd Sharifuddin bin Abdul Manan.

Penanaman anak pokok ini telah dimulakan awal oleh ahli JAKPAW Negeri Perak sejak 22 September 2023 yang menjadikan jumlah pada hari ini sebanyak 700 anak pokok jenis Bakau Minyak ditanam.

Seterusnya adalah aktiviti menanam anak pokok Rhu Pantai di Taman Eko Rimba, Pasir Panjang, Segari.

Penganjuran program ini turut membuktikan komitmen negeri Perak untuk capai sasaran penanaman dua juta pokok setahun atau 10 juta pokok bagi tempoh lima tahun sehingga 2025 bagi menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang bermula pada tahun 2021.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan jamuan makan tengah hari.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.