Skip to main content

12 Agensi Pantau Sektor Perlombongan Di Perak.

YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Encik Mohd Azlan Helmi bin Helmi ketika Mesyuarat Keempat, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15, Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan

IPOH, 26 September 2023 - Kerajaan Negeri Perak berusaha meningkatkan hasil menerusi sektor perlombongan namun tidak akan mengenepikan kelestarian alam sekitar.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Keempat, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15, Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

“Penilaian untuk pembukaan kawasan baharu bagi perlombongan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) adalah bergantung kepada suatu badan bebas melalui Jawatankuasa Audit yang dibentuk bagi tujuan pemantauan pelaksanaan projek perintis perlombongan di negeri Perak.

“Ia melibatkan 12 agensi teknikal penguatkuasaan antaranya Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Perak, Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak, Jabatan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Negeri Perak,” jelasnya.

Tambahnya lagi, perlombongan dan pengoperasian hanya dibenarkan setelah semua kelulusan seperti laporan Environmental Impact Assessment (EIA) Malaysia dan Environmental Management Plan (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar, surat kelulusan Skim Pengendalian Melombong daripada JMG Perak, kelulusan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), kelulusan Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada PlanMalaysia@Perak dan kelulusan Laporan Erosion Sediment Control Plan (ESCP) daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak diperolehi terlebih dahulu.

“Bagi kajian tambahan kesan perlombongan ke atas pokok-pokok pula, satu mesyuarat khas yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersama JMG Perak dan penggerak projek telah memutuskan bahawa pemegang pajakan yang terlibat perlu melaksanakan kajian tumbesaran pokok dan kesuburan tanah di kawasan tapak projek perintis dan mengemukakan laporan tersebut kepada NRECC sebelum sesuatu perlombongan itu dijalankan,” ujarnya ketika sesi persidangan dijalankan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.