DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 2023

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 2023.
IPOH, 28 September 2023 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 2023 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini.
Turut berangkat pada majlis tersebut, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YBhg. Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini serta YBrs. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Tuan Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim.
Bertemakan ‘Rasulullah SAW: Mengungguli Peradaban Umat’ majlis yang dihadiri lebih 2,000 hadirin itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan selawat beramai-ramai ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Pada majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada Puan Kasanah binti Mukkeri.
Ibu kepada 5 orang anak itu menerima wang tunai RM5,000 beserta plak dan sijil penghargaan.
Sementara itu, bagi Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) diberikan kepada Encik Amar Arif bin Ahmad Po'aad, manakala Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Media) pula diberikan kepada YBhg. Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Bagi Anugerah Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah diberikan kepada Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (KMM) Taiping.
Anugerah Tokoh Imam pula diterima pesara guru, Tuan Haji Zainall Abidin bin Zulkifli, yang berkhidmat di Masjid Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu.
Selain itu, bagi Anugerah Tokoh Bilal telah diberikan kepada Encik Hamzah bin Ramli, yang bertugas di Masjid Nurul Hidayah, Manjung manakala Anugerah Tokoh Siak diberikan kepada Tuan Haji Muhammad Noor bin Abd Yaseh, yang berkhidmat di Masjid Al-Makmur, Sungai Galah, Tanjung Tualang.
Para penerima masing-masing membawa pulang RM3,000 beserta plak dan sijil penghargaan.