YAB PM Lancarkan Skim Perubatan Madani Dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023.

YAB Perdana Menteri ketika menyempurnakan pelepasan peserta Program Santuni Rakyat_ Kenali Ubat Anda.
IPOH, 1 Oktober 2023 - YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim hari ini telah melancarkan Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini.
Beliau ketika berucap berkata, sektor kesihatan dan pendidikan akan terus menjadi keutamaan serta menerima peruntukan besar di dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
"Seperti belanjawan sebelum ini, kedua-dua sektor tersebut mendapat peruntukan terbesar berbanding kementerian lain dan perkara itu akan diteruskan.
"Tumpuan juga akan diberikan kepada usaha membina dan menyiapkan klinik kesihatan, klinik desa serta di hospital-hospital kerajaan," katanya ketika berucap.
Hadir sama dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YB Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha bin Mustafa; YB Menteri Sumber Manusia, Tuan V. Sivakumar; YB Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato' Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang; YBhg. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi bin Abu Hassan; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin, YB Ahli- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Ujar YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim lagi, dalam Belanjawan Madani kedua bulan ini, isu kesihatan terutama klinik-klinik akan diberi keutamaan termasuk masalah kesesakan di hospital-hospital kerajaan.
"Mungkin kesesakan itu sudah bertahun dihadapi, tetapi kerana tindakan itu tidak pantas dan peruntukan tidak cukup maka masalah tersebut menjadi begitu rumit sehingga sekarang ini.
"Oleh itu, saya telah pastikan dan berbincang dengan jemaah menteri dan juga pegawai di Kementerian Kewangan bahawa fokus kita di dalam Belanjawan 2024 agar memberi fokus tentang kemudahan kesihatan," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Skim Perubatan Madani merupakan satu inisiatif penting Dasar Malaysia Madani bertujuan menyediakan akses sama rata perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk memenuhi keperluan kesihatan golongan B40 dalam penjagaan kesihatan primer akut iaitu rawatan pesakit luaar kes-kes akut.
Manakala, Program Madani Afiat merupakan cetusan idea YB Dr. Zaliha binti Mustafa dalam merakyatkan KKM dan merupakan agenda reformasi kesihatan dalam Tonggak Kedua, Kertas Putih Kesihatan 2023 yang menyarankan peralihan fokus merawat pesakit kepada paradigma baharu iaitu daripada sick care kepada health care.