Skip to main content

Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 9.

Sempena MESRA kali ini, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad turut melancarkan Bulan Inovasi Peringkat Negeri Perak.

IPOH, 12 Oktober 2023 - Kerajaan Negeri Perak hari ini menganjurkan Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 siri ke-9 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, pada hari ini sebanyak 187 aduan telah diterima. Sehingga siri 8 yang lepas, sebanyak 1013 aduan daripada 1,121 aduan telah diselesaikan. Manakala, 108 aduan masih di dalam tindakan.

Tambahnya lagi, sebanyak 69 kaunter khidmat pelanggan merangkumi ketua jabatan dan agensi negeri bersama-sama YAB Menteri Besar Perak dan barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri terlibat menyantuni pelanggan.

Sempena MESRA kali ini, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad turut melancarkan Bulan Inovasi Peringkat Negeri Perak.

Pelancaran ini merupakan simbolik permulaan ke arah Sambutan Inovasi Peringkat Negeri Perak yang dijadualkan akan berlangsung pada 1 November 2023. Pelbagai pengisian telah disusun untuk merancakkan lagi agenda inovasi di peringkat negeri, sama ada dalam kalangan pejawat awam, pelajar sekolah mahupun peringkat setempat.

Sempena pelancaran hari ini, 24 buah sekolah rendah dan menengah dari seluruh negeri telah mempamerkan projek inovasi yang dihasilkan mereka.

Di samping itu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Usahawan Perak (GeRAK) dan Geran Pembangunan dan Peningkatan Rekabentuk Pembungkusan Produk Usahawan Perak 2023.

“GeRAK merupakan bantuan geran percuma berbentuk peralatan dan bukan peralatan bagi membantu usahawan terlibat meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran usahawan dengan mensasarkan 900 orang penerima dari seluruh negeri.

“Manakala, Geran Pembangunan Dan Peningkatan Rekabentuk Pembungkusan Produk Usahawan Perak 2023 merupakan geran peningkatan dan menambahbaik pembungkusan produk usahawan terpilih. Inisiatif ini juga akan membantu usahawan memasarkan produk mereka dengan lebih efisien,” jelasnya.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Teh Kok Lim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Puan Salbiah binti Mohamed dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman.

Sebelum mengakhiri program, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkesempatan menyempurnakan sesi penyampaian hadiah bagi pemenang Pertandingan Keceriaan Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Tahun 2023 serta Pertandingan Video Pendek “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” Sempena Bulan Kebangsaan Tahun 2023. 

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.