Program Kayuhan Perak Innoride 2023 Semarakkan Semangat Inovasi Dalam Kalangan Masyarakat.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri ketika program Kayuhan Perak Innoride 2023.
IPOH, 29 Oktober 2023 - Program Kayuhan Perak Innoride 2023 merupakan pendekatan terbaik bagi menyemarakkan semangat inovasi di samping mengeratkan lagi silaturahim antara peserta di kalangan rakyat negeri Perak.
YB Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Encik Khairudin bin Abu Hanipah berkata, seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan umur menyertai acara tersebut.
"Kita dapat lihat, sambutan yang diterima bagi program ini sangat baik dan peserta yang hadir pada hari ini adalah dari pelbagai kaum serta umur.
"Ini merupakan acara julung kali diadakan, bagi tahun akan datang mungkin kita akan bincangkan mengenai penambahbaikan dari segi jumlah penyertaan serta jarak oleh kerana jarak kayuhan pada hari ini cuma 12 kilometer dan dianggap singkat," katanya.
Beliau yang hadir bagi mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian pada sidang media selepas Program Kayuhan Perak Innoride 2023 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Hadir sama YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud; YBrs. Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Tuan Haji Mazlan bin Mohamad serta YBrs. Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Korporat, Puan Anita binti Amri.
Ujar YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah lagi, program berbasikal seperti ini merupakan satu kaedah yang memberi manfaat untuk kesihatan.
"Program seperti ini sedikit sebanyak menjadi platform pendedahan kepada masyarakat mengenai pentingnya untuk bersukan bagi memastikan diri sihat dan cergas.
"Melalui aktiviti berbasikal seperti ini, ia secara tidak langsung dapat membantu rakyat negeri Perak secara khusus untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan sekaligus menjayakan agenda Perak Sejahtera 2030," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Program Kayuhan Perak Innoride 2023 diadakan sempena Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak yang akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak pada 1 November nanti.
Selain Kayuhan Perak Innoride 2023 tersebut, pelbagai program telah disusun bagi merancakkan sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak 2023 antaranya Bengkel Penyediaan dan Pemantapan Dokumentasi Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Negeri Perak, Pelancaran Sambutan Bulan Inovasi Negeri Perak, Seminar Inovasi dan Pertandingan Anugerah Inovasi dan Horizon Baharu KIK Negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.