Skip to main content

Mufti Negeri Perak Dahului Senarai Nama 238 Orang Penerima Darjah Kebesaran, Pingat Negeri Perak

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara Perak, YDH. Toh Amar Seri Diraja, Dato' Seri Ayop bin Hashim

IPOH, 2 November 2023 - Mufti Negeri Perak, YBhg. Sahibus Samahah Dato' Haji Wan Zahidi bin Wan Teh mendahului senarai 238 orang penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Beliau yang dilantik sebagai mufti Perak pada 1 Ogos 2022, dikurniakan Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Turut dikurniakan darjah yang sama adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Dato’ Dr. Zulkapli bin Mohamed.

Ia diikuti oleh Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, YBhg. DIG Datuk Seri Ayob Khan bin Mydin Pitchay yang dikurniakan Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Dato’ Seri Panglima, manakala YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, Tuan Mohd Zaki bin Mahyudin menerima Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato’.

Sementara itu, bagi Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Dato’ diberikan kepada 13 penerima.

Antara penerima DPMP, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Puan Salbiah binti Mohamed; YBrs. Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, Ir. Hamdan bin Ali; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Encik Mohamad Fauzi bin Mahson; YBrs. Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr. Megat Iskandar bin Megat Abdul Hamid; Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Puan Nor Eni binti Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Encik Yahanis bin Yahya; YBrs. Naib Canselor, Universiti Teknologi Petronas, Professor Ts. Dr. Mohamed Ibrahim bin Abdul Mutalib.

Selain itu, turut menerima DPMP, Presiden Persatuan Hoki Perak, Encik Mohd Saiyuti bin Abd Samat; TYT Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Muzafar Shah bin Mustafa; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, YBhg. Datuk Ahmad Zaini bin Kamaruzzaman; Encik Chandrasekaran A/L Perumal; Encik Mohamed Shah Redza bin Hussein dan YBrs. Dr. Lee Boon Chye.

Lima menerima Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) membawa gelaran Dato’ Pahlawan, iaitu Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan, Brigedier Jeneral Sr. Dr. Mohd Zambri bin Mohamad Rabab; Ketua Perhubungan Antarabangsa Urus Setia Ketua Polis Negara, SAC Suparamaniam A/L Ramasamy; Brigedier Jeneral Dr. Leong Weng Foon (B); Inspektor Jeneral, Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Mohd Fadzli Kamal bin Mohd Mohaldin dan Panglima Briged Kedua Infantri, Markas 2 Briged, Brigedier Jeneral Asri bin Shukor.

Di samping itu, 14 penerima dianugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 29 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 21 penerima.

Sementara Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 43 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT) 60 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 33 penerima dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 15 penerima.

Menurut YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Baginda telah berkenan mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada Muhammad Azeem bin Mohd Fahmi yang memenangi pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki; Shereen Samson Vallabouy yang memenangi pingat gangsa dan Muhd Shafiq bin Puteh yang memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 3 meter papan anjal seirama.

Ketiga-tiga atlet ini telah berjaya memenangi pingat di Sukan Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou pada 23 September hingga 8 Oktober 2023 dalam acara 400 meter dan 4x100 meter perempuan

Tambahnya lagi, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan sebanyak dua sesi.

“Sesi pertama melibatkan penganugerahan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang akan dilangsungkan pada hari Ahad, 5 November 2023. Sesi kedua pula akan dilangsungkan pada hari Sabtu, 18 November 2023. Kedua-duanya akan diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” katanya dalam satu sidang media di Laman Seri Ridzuan, di sini.

Selain itu, Baginda perkenan untuk membiayai hidangan makanan tengah hari Jumaat, 3 November 2023 kepada 7,100 orang banduan di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan pusat pemulihan Akhlak Batu Gajah. Program tersebut akan dikelolakan oleh Jabatan Penjara Perak.

“Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mewakili Baginda di Penjara Taiping, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan (Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama) akan mewakili Baginda di Pusat Koreksional Kamunting, Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja (Orang Besar Jajahan Kinta) akan mewakili Baginda di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, dan YDH Toh Paduka Indera (Orang Besar Jajahan Batang Padang) akan mewakili Baginda di Penjara Tapah,” jelasnya.

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara Perak, YDH. Toh Amar Seri Diraja, Dato' Seri Ayop bin Hashim.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.