Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Penyampaian Sijil Program Hari Konservasi Pulau Sembilan 2023.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Sijil Program Hari Konservasi Pulau Sembilan Tahun 2023.

IPOH, 7 November 2023 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Penyampaian Sijil Program Hari Konservasi Pulau Sembilan Tahun 2023 di Casuarina@Meru, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang Di-Pertua Dewan Negeri, Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBrs. Pemangku Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Encik Lau Ching Fong serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, bersempena Program Hari Konservasi Pulau Sembilan pada 23 September lalu, lebih 2 tan sampah berjaya dikutip di perairan gugusan Pulau Sembilan.

"Kesemua sampah yang berjaya dikutip terdiri daripada peralatan perikanan atau marin, plastik, aluminium, kaca dan bahan yang tidak boleh dikitar semula.

"Usaha tersebut diadakan melalui kolaborasi pelbagai pihak termasuk sukarelawan dan penyelam daripada Nature and Oceanography Advocate Society, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam dan Samudera 9 Perak," katanya.

Pada majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil jabatan dan agensi serta sukarelawan yang menjayakan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan Tahun 2023.

Dalam perkembangan sama, Pulau Sembilan merupakan salah satu taman negeri di bawah pentadbiran Perbadanan Taman Negeri Perak dan telah diwartakan sebagai Taman Negeri pada 14 Oktober 2010.

Taman negeri tersebut mempunyai keluasan seluas 214.82 hektar yang mana terdiri daripada sembilan gugusan pulau iaitu Pulau Rumbia, Pulau Lalang, Pulau Agas, Pulau Payung, Pulau Saga, Pulau Nipis, Pulau Buluh, Batu Putih dan Batu Hitam.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.