Mesyuarat Perhubungan Ketua Jabatan Negeri Dan Persekutuan Negeri Perak Bilangan 1 Tahun 2023.

Ahli mesyuarat bergambar bersama
IPOH, 10 November 2023- YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim telah mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Negeri Perak Bilangan 1 Tahun 2023 di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Mesyuarat yang bermula pada jam 3.00 petang itu dilakukan secara maya dengan penglibatan lebih 200 orang ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan termasuk pegawai-pegawai daerah dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Perak.
Sesi tersebut telah dimulakan dengan perutusan pengerusi sebelum diteruskan dengan pengesahan minit mesyuarat dan perkara-perkara berbangkit.
Seterusnya, mesyuarat tersebut turut melibatkan pembentangan mengenai Status Pelaksanaan Projek-Projek Pembangunan Persekutuan di negeri Perak oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Haji Shamshuzaman bin Sulaiman.
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun dan Setiausaha-Setiausaha Bahagian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Sementara itu, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut mengucapkan tahniah kepada penerima darjah kebesaran negeri Perak sempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan memberi penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjaya meraih pelbagai kejayaan serta bekerjasama menjayakan pelbagai program.
Selain itu, beliau menyeru kepada semua ahli mesyuarat untuk berpegang kepada prinsip rukun negara yang kedua iaitu “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” dan bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pengerusi dalam mesyuarat berkenaan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.