Skip to main content

Majlis Graduasi Taska Genius Tahun 2023.

YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) ketika menyampaikan ucapan

IPOH, 10 November 2023 - Seramai 98 orang pelajar empat tahun dari 10 buah Taska Genius di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Negeri Perak yang bakal menamatkan sesi pembelajaran diraikan dalam sebuah majlis graduasi.

YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Nor Sham binti Rahman berkata, majlis seumpama itu perlu diadakan untuk memberi makna kepada kehidupan anak-anak kita yang bakal mewarisi masa depan negara.

"Setiap tahun, pihak pengurusan Taska Genius tidak pernah lupa mengadakan majlis untuk meraikan anak-anak berumur empat tahun yang bakal tamat sesi pembelajaran tidak lama lagi.

"Majlis ini merupakan kemuncak program tahunan Taska Genius seperti yang tercatat di dalam takwim yang dikeluarkan setiap tahun. Pada tahun ini juga, buat julung kalinya majlis graduasi ini dibuat secara besar-besaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Graduasi Taska Genius di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Negeri Perak.

Hadir sama, YBrs. Pegawai Daerah Manjung, Encik Shamsul Ridzuan bin Idris; YBrs. Pegawai Daerah Hilir Perak, Encik Saidi bin Hj. Shaari ; YBrs. Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) PSUK, Puan Nurul Jaswa binti Abd Hamid serta YBrs. Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Pendidik Taska Genius SUK Perak, Puan Munaliza binti Aziz.

Ujar YBhg. Dato Nor Sham binti Rahman lagi, selain infrastruktur yang lengkap dan sempurna, kurikulum bagi Taska Genius adalah berdasarkan kepada Kurikulum Pendidikan Genius dengan menggariskan objektif yang khusus.

"Antaranya ialah mengamalkan nilai-nilai kerohanian dan murni; memahami persekitaran yang membantu literasi awal; menguasai kemahiran awal berbahasa; kebolehan berfikiran secara logik; keupayaan penguasaan awal matematik dan menumpukan perhatian; kefahaman alam sekitar; kebolehan pengurusan diri serta meneroka idea baru melalui pelbagai bahan dan aktiviti kreatif.

"Selain itu, kesemua objektif tersebut diterjemahkan melalui modul pembelajaran dalam dan luar kelas seperti yang telah disusun secara rapi dan teliti di dalam takwim tahunan yang disediakan oleh pihak pengurusan Taska Genius," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, majlis graduasi tersebut turut diserikan lagi dengan persembahan oleh pelajar-pelajar empat tahun dari 10 buah Taska Genius di bawah PSUK Perak.

Antara Taska Genius yang terlibat adalah, Taska Genius SUK Perak; Kinta, Batu Gajah; Batang Padang; Hilir Perak; Hulu Perak; Perak Tengah; Larut Matang dan Selama; Kuala Kangsar; Manjung; Kerian dan Kampar

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 16 January 2026, 06:45:36.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.