Skip to main content

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Perlawanan Akhir Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah.

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan selepas aksi perlawanan akhir Piala Tuanku Zara.

IPOH, 12 November 2023 - DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke perlawanan akhir edisi pertama Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah antara pasukan Namibia dan Afrika Selatan di Stadium Indera Mulia, di sini, malam tadi.

Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Encik Khairuddin bin Abu Hanipah yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.

Hadir sama, YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YBhg. Presiden Persatuan Hoki Negeri Perak, Dato’ Mohd Saiyuti bin Abd Samat dan YBrs. Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Puan Rogayah binti Mohamed.

Pada aksi perlawanan akhir tersebut, pemain Namibia, Brynn Cleak muncul sebagai wira pasukan, selepas jaringannya mengesahkan kemenangan ke atas Afrika Selatan menerusi penentuan penalti 3-2.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan itu terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti, selepas terikat 2-2 pada 40 minit perlawanan.

Turun sebagai pasukan bukan pilihan tidak menghalang kemaraan pasukan Namibia apabila bermula garang dengan membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi gol padang yang disempurnakan oleh Fagan Hansen.

Berselang tujuh minit kemudian, pasukan Namibia meneruskan serangan dan Brynn Cleak berjaya meledak jaring menerusi gol padang sekaligus meletakkan pasukannya dengan kelebihan dua jaringan.

Tersentak dengan ketinggalan dua gol, Afrika selatan terus menggandakan serangan dan berjaya membuahkan hasil untuk merapatkan jurang apabila pukulan sudut penalti ketiga pasukannya pada minit ke-26 berjaya disudahi oleh Keegan Hezlett.

Afrika selatan terus memberi tekanan dan pada minit ke-32 suku keempat perlawanan, Jethro Eustice berhasil menghadiahkan gol pernyamaan.

Perlawanan kemudian ditentukan menerusi penentuan penalti yang meletakkan Namibia sebagai juara selepas pemain Afrika Selatan, Keegan Hezlett gagal menyempurnakan pukulan.

Sementara itu, pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, pasukan New Zealand berjaya menundukkan Australia dengan keputusan 6-4.

Terdahulu, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim turut berkenan menyaksikan perlawanan akhir edisi kedua Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Tuanku Zara yang menyaksikan pasukan wanita Afrika Selatan muncul juara selepas membenam Switzerland 4-3, juga menerusi penentuan pukulan penalti selepas terikat 1-1.

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim turut berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Dalam perkembangan sama, Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah serta Piala Tuanku Zara telah berlangsung selama enam hari bermula 6 November lalu dan telah disertai oleh negara Afrika Selatan, Australia, Namibia, Switzerland, New Zealand, Hong Kong dan Malaysia

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.