Banjir: Kerajaan Negeri Ambil Langkah Berjaga-Jaga.

Hadir sama, YB Dato' Salbiah binti Mohamed serta YBrs. Tuan Haji Mohd Sabli bin Bakri
BAGAN SERAI, 16 November 2023 - Kerajaan Negeri Perak mengambil langkah berjaga-jaga walaupun keadaan banjir secara keseluruhannya makin bertambah baik tetapi keadaan cuaca masih tidak menentu.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika melakukan tinjauan mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, di sini.
“Keadaan banjir di seluruh negeri Perak membabitkan tiga daerah iaitu daerah Kerian, Hilir Perak dan Kinta dilaporkan sudah semakin pulih apabila dua daripada enam PPS telah ditutup sejak semalam.
“Dua PPS yang telah ditutup adalah Dewan Serbaguna Chikus (Hilir Perak) dan Dewan Orang Ramai, Kampung Sri Kinta (Kinta).
“Manakala empat lagi masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu. Kedua-dua sekolah ini terletak di kawasan Bagan Serai. Seterusnya adalah Dewan Serbaguna Padang Tembak (Hilir Perak) dan Dewan Orang Ramai, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Meru (Kinta) yang disebabkan ribut.
“Walaupun keadaan banjir secara keseluruhannya telah bertambah baik tetapi saya meminta semua jabatan dan agensi terlibat untuk mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan cuaca yang masih tidak menentu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sehingga hari ini, seramai 178 mangsa daripada 52 buah keluarga masih ditempatkan di PPS berkenaan.
“Hari ini saya meninjau PPS SK Alor Pongsu yang telah dibuka sejak 30 Oktober yang lalu. Di sini, menempatkan 57 mangsa daripada 19 keluarga dari empat kampung iaitu Kampung Selekoh, Kampung Beriah, Kampung Parit Air Hitam Dua dan Kampung Parit Ali Kalang.
“Dalam lawatan saya, senario banjir di daerah Kerian adalah sama seperti yang dialami di daerah Hilir Perak iaitu ‘banjir termenung’. Ini menyebabkan air mengambil masa yang agak lama untuk surut,” katanya.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Salbiah binti Mohamed serta YBrs. Pegawai Daerah Kerian, Tuan Haji Mohd Sabli bin Bakri.
Pada masa yang sama, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang mengambil tindakan segera dengan menggunakan kaedah pam air untuk menyelesaikan masalah tersebut dan seterusnya kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan.
Kerajaan telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM600 termasuk bantuan awal kepada mangsa banjir bagi meringankan beban.
Sumber : Korporat, SUK Perak.