Skip to main content

Pelan Perindustrian Perak Sasar Nilai Pelaburan RM47 Bilion.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan

IPOH, 29 November 2023 - Kerajaan Negeri Perak melalui InvestPerak telah menyediakan Pelan Perindustrian Perak (P3) yang berperanan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, pelan tersebut akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan prestasi sektor perindustrian negeri Perak bagi tempoh 10 tahun sehingga 2030, selari dengan aspirasi “Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030” yang ditetapkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Pelan ini mensasarkan jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM47 bilion bagi tempoh 10 tahun di mana beberapa sektor utama berteknologi tinggi diberi tumpuan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan di negeri Perak.

“Antaranya sektor elektrikal dan elektronik (E&E), automotif dan komponan serta kenderaan elektrik (EV), industri berasaskan mineral, bioteknologi, peranti perubatan dan lain-lain sektor yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pelabur 2023 dan Majlis Pelancaran Pelan Perindustrian Perak (P3) di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di sini.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dato’ Hairil Yahri bin Yaacob; YBrs. Ketua Eksekutif InvestPerak, Tuan Haji Mohamad Hashim bin Abdul Ghani serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, semua sektor telah dikenal pasti dalam mengetengahkan negeri Perak sebagai sebuah negeri maju dan berdaya saing.

“Kesemua sektor tersebut bukan sahaja berkeupayaan menarik pelaburan berteknologi tinggi malah turut membangunkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing di peringkat global.

“Menerusi pelan ini juga, kadar KDNK bagi negeri Perak disasarkan bernilai RM123 bilion menjelang tahun 2030 di mana sektor perindustrian disasarkan menyumbang sebanyak 25% dengan nilai mencecah RM30.9 bilion,” ujarnya lagi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.