Perak Bentang Belanjawan 2024 Berjumlah RM1.35 Bilion.

YAB Menteri Besar Perak bersama YB Kewangan Negeri Perak menunjukkan buku Belanjawan Negeri Perak 2024
IPOH, 1 Disember 2023 - Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2024 berjumlah RM1.35 bilion yang merupakan tertinggi dalam sejarah dengan memberi tumpuan khusus bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mensejahterakan rakyat.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, dengan meneruskan tema “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera” sebagai kesinambungan pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, Belanjawan Perak 2024 memperuntukkan sebanyak RM491 juta untuk belanja pembangunan manakala RM856 juta bagi belanja mengurus.
Menurut beliau, Belanjawan 2024 Perak mengekalkan lima fokus utama seperti tahun 2023 iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar dan Keterjaminan Bekalan Makanan.
“Antara yang menjadi tumpuan ialah pertambahan peruntukan bagi tujuan pembangunan yang meningkat sebanyak RM96 juta berbanding tahun 2023 dengan kebanyakannya disalurkan bagi pembangunan infrastruktur dan inisiatif kesejahteraan rakyat.
“Disokong kedudukan kewangan negeri yang semakin mengukuh dan stabil, belanjawan kali ini juga menyaksikan beberapa inisiatif bantuan terus kepada rakyat dinaikkan bagi memenuhi keperluan kebajikan dan manfaat rakyat yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membentangkan Belanjawan Perak 2024 di Dewan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, dengan menyedari realiti ketidaktentuan iklim ekonomi yang masih menyelubungi kehidupan rakyat, kerajaan menyediakan peruntukan RM384.1 juta untuk melaksanakan pelbagai program kesejahteraan rakyat dengan matlamat mengupayakan sara diri rakyat.
Beliau berkata, berdasarkan iklim ekonomi yang tidak menentu dan menekan kehidupan rakyat marhaen, kadar semasa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 akan dinaikkan kepada RM400 mulai Januari 2024.
“Mulai tahun hadapan, syarat kelayakan bantuan kewangan JKM akan menggunapakai garis panduan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan Isi Rumah RM1,198 berbanding RM1,169 pada masa ini.
“Selain itu, program Kad Perak Sejahtera yang bertujuan membantu golongan sasar B40 bukan sahaja diteruskan dengan peruntukan RM24 juta, malah kadar tunai kad yang telah dinaikkan daripada RM80 kepada RM90 tahun ini, akan ditingkatkan lagi menjadi RM100 mulai tahun hadapan,” ujarnya.
Tambah YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad juga, bagi menjayakan fokus kedua iaitu Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, kerajaan negeri memperuntukkan dana RM393.4 juta bagi melaksanakan program pembangunan termasuk membina atau menambah baik kemudahan prasarana selain menaik taraf infrastruktur jalan.
“Selaras dengan kepentingan ilmu pengetahuan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat, agenda pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan negeri dengan penyediaan peruntukan RM202.4 juta bagi tujuan pembangunan modal insan dan belia.
“Manakala bagi fokus keempat dan kelima yang menyentuh aspek Kelestarian Alam Sekitar dan Keterjaminan Bekalan Makanan pula masing-masing disediakan peruntukan sebanyak RM66.3 juta dan RM63.3 juta,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan sama, melalui belanjawan itu juga, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.