Skip to main content

Belanjawan Negeri Perak 2024 Lulus.

Dewan Negeri Perak hari ini meluluskan Belanjawan Negeri Perak 2024 berjumlah RM1.35 bilion secara sebulat suara.

IPOH, 7 Disember 2023 - Dewan Negeri Perak hari ini meluluskan Belanjawan Negeri Perak 2024 berjumlah RM1.35 bilion secara sebulat suara ketika Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Usul yang diluluskan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 itu mendapat sokongan sebulat suara oleh kesemua 53 orang Ahli Dewan Negeri yang hadir.

Hari ini, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad membuat penggulungan terakhir perbahasan Belanjawan Perak 2024 sebelum ia diluluskan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Perak berusaha sedaya upaya untuk memastikan belanjawan tahun hadapan bersifat responsif terhadap situasi ketidaktentuan ekonomi termasuk senario peningkatan kos sara hidup yang saban hari menekan kehidupan rakyat.

“Selain menaikkan kadar semasa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM300 kepada RM400, jumlah bantuan Kad Perak Sejahtera yang sebelum ini sudah dinaikkan daripada RM80 kepada RM90, ditingkatkan lagi menjadi RM100.

“Begitu juga komitmen Kerajaan Negeri Perak untuk meneruskan inisiatif Kedai Bergerak Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM0.82 juta bagi memastikan rakyat yang kurang berkemampuan termasuk di kawasan luar bandar dapat membeli barangan keperluan dengan harga yang lebih murah.

“Bantuan Program Bantuan Kotak Makanan yang menyasarkan bantuan keperluan makanan kepada golongan B40, miskin, miskin tegar dan mangsa bencana di seluruh Perak juga diteruskan dengan peruntukan RM5.0 juta,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Perak turut memperuntukan RM45.5 juta bagi menyelaras, menambah baik dan melicinkan urus tadbir termasuk mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan di semua 59 kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid mengumumkan Belanjawan Perak 2024 diluluskan pada bacaan kali kedua dan kali ketiga selepas Ahli Dewan Negeri menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.

Pada masa yang sama, Belanjawan Negeri Perak 2024 yang dibentangkan pada 1 Disember lalu menyaksikan bajet dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM856 juta dan pembangunan RM491 juta.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.