Skip to main content

Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 1

YAB Menteri Besar Perak ketika Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri 1 Tahun 2024

IPOH, 4 Januari 2024 - Kerajaan Negeri Perak telah mengadakan siri pertama Hari Bertemu Pelanggan (HBP) untuk tahun 2024 sebagai kesinambungan program yang telah dimulakan kali pertama pada 8 Februari tahun 2022.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, sepanjang tempoh penganjuran 17 siri HBP yang diadakan sejak 2022 hingga tahun lalu, sebanyak 2,356 aduan telah diterima dan sebanyak 2,280 atau 97 peratus aduan berjaya diselesaikan.

“Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk terus menjadikan pendekatan turun padang sebagai salah satu tunjang pentadbiran kerajaan.

“Pendekatan inklusif ini membolehkan seluruh jentera pentadbiran berdepan sendiri dengan rakyat dengan mendengar serta menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 1 di Stadium Indera Mulia, di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin serta YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Encik Anuar bin Zainal Abidin.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, bagi memantapkan pelaksanaan HPB, program tersebut akan terus disusun secara penggiliran.

“Selepas ini, semua daerah akan dilibatkan untuk program HBP selain lokasi utama di Stadium Indera Mulia ini.

“Penggiliran ini bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat negeri Perak yang berada di luar daerah untuk datang menyuarakan permasalahan mereka,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, bagi penganjuran HBP 2024 Siri 1 ini, ia melibatkan 69 kaunter khidmat pelanggan, enam kaunter bergerak, 26 reruai pameran serta reruai jualan murah daripada Yayasan Bina Upaya dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Wednesday 21 May 2025, 04:41:22.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.