MPKK Lokasi Pertama Program Sehari Bersama YB SUK 2024.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri ketika menandatangani buku pelawat ketika mengadakan siri lawatan ke MPKK
KUALA KANGSAR, 26 Januari 2024 - Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menjadi lokasi pertama pada tahun 2024 bagi siri lawatan Program Sehari Bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.
Program yang bermula pada jam 10.00 pagi itu dimulakan dengan sesi pembentangan mengenai hala tuju tahun 2024 MPKK oleh YBrs. Yang Dipertua MPKK, Dr. Sakduddin bin Zamli.
Melalui sesi pembentangan tersebut, YBrs. Dr. Sakduddin bin Zamli menggariskan tiga hala tuju antaranya meningkatkan hasil, pengurusan sampah terbaik dan peningkatan kualiti pengurusan bagi tahun 2024.
Selepas itu, program diteruskan lagi dengan sesi soal jawab YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim bersama ketua-ketua jabatan MPKK bagi membincangkan isu-isu berkaitan serta penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan di sana.
Dalam sesi tersebut, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim menyeru agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melihat kembali kepada fungsi asas mereka diwujudkan dan memastikan khidmat mereka kepada masyarakat dijalankan dengan tanggungjawab.
Sebelum mengakhiri sesi lawatan, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim berkesempatan untuk melawat Memory Lane, di sini, bagi melihat potensi tempat tersebut yang kini menjadi salah satu daya tarikan pengunjung yang datang ke Kuala Kangsar.
Hadir sama, YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Nor Sham binti Rahman; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun; YBrs. Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Puan Srihartini binti Mohamed Shamsudin; YBrs. Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Korporat, Puan Anita binti Amri; YBrs. Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Puan Zuriati binti Zainal serta YBrs. Setiausaha Perbandaran MPKK, Haji Saiful Azli bin Mohamed Nor.
Dalam perkembangan sama, Program Sehari Bersama YB SUK itu bertujuan bagi memberi ruang kepada YB Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan kepimpinan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) Perak untuk menyantuni keperluan dan menyelami hala tuju pentadbiran setiap daerah di negeri ini.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.