Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menghargai jasa dan pengorbanan pasukan ini dalam berjuang berkorban masa dan nyawa demi tanah air tercinta.
IPOH, 3 April 2024 - Kerajaan negeri meneruskan tradisi pengagihan sumbangan juadah raya berjumlah 11,000 kotak juadah raya kepada 17 pasukan keselamatan dan badan beruniform sempena kedatangan Syawal tahun ini.
Majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan ini disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.
Beliau dalam ucapannya menghargai jasa dan pengorbanan pasukan ini dalam berjuang berkorban masa dan nyawa demi tanah air tercinta.
“Ucapan terima kasih kami mungkin terasa kecil dibandingkan dengan pengorbanan yang telah diberikan. Namun, izinkan kami menyampaikan rasa hormat dan penghargaan yang mendalam kepada setiap detik, keringat dan air mata yang telah ditumpahkan demi memastikan keamanan dan kedamaian negara tercinta sentiasa dipertahankan,” jelasnya.
Hadir sama, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Pengagihan kotak juadah raya ini membabitkan pasukan badan beruniform antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, Akademi Tentera Udara Perak, Pasukan Polis Marin Kg. Acheh Sitiawan, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Bomba Negeri Perak dan Markas 2 Briged.
Terdahulu, kerja pembungkusan telah dibantu oleh 200 orang petugas yang terdiri daripada kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, BAIDURI, PUSPANITA, BAKAT (Laut), BAKAT (Darat), BAKAT (Udara), PERKEP Kontinjen IPK Perak, PERKEP Briged Utara Perak, Persatuan Wanita Prihatin, PERISMA dan Pasukan 2 Briged.
Barangan yang dibekalkan di dalam kotak juadah raya adalah rendang tok, dodol, serunding dan kopi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.