Skip to main content

Bawang Perak Akan Ke Pasaran Mulai Pertengahan Mei.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad beramah mesra bersama warga Jabatan Pertanian Negeri Perak.

GOPENG, 9 Mei 2024 - Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak telah berjaya menuai bawang merah kecil BAW-1 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi tujuan komersial melalui Projek Rintis Tanaman Bawang di Kampung Kuala Bikam, Sungkai yang bermula pada 24 Januari 2024 yang lepas.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian selepas menyaksikan simbolik penyerahan Bawang Perak daripada Jabatan Pertanian Negeri Perak kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak pada majlis Ramah Mesra dan Semarak Aidilfitri Jabatan Pertanian Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), di sini.

Menurutnya, sejumlah 3.3 tan metrik bawang akan ke pasaran bermula pertengahan Mei 2024 dan dijual dengan harga RM10.00 hingga RM12.00 per kilogram (kg).

“Memandangkan projek rintis penanaman bawang kecil ini bermula di Perak, Kerajaan negeri berhasrat untuk menjenamakan bawang merah kecil ini sebagai Bawang Perak (BP) bagi membezakan bawang-bawang import lain yang berada di pasaran.

“Bawang Perak ini mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan bawang import yang berada di pasaran. Perbezaannya adalah dari segi kesegaran, kerangupan, warna isinya yang lebih merah dan aroma yang kuat.

“Kerajaan Negeri Perak sangat menyokong usaha ini dan berharap melalui skala pra komersial yang diusahakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mampu menjadi pencetus kepada pengeluaran bawang dalam negara bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import bawang menjelang tahun 2030.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Salbiah binti Mohamed; YBrs. Pengarah Pertanian Negeri, Ts. Norsiyenti binti Othman dan Pengarah FAMA Perak, Encik Noorsham bin Ramly.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.