Skip to main content

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Pelancaran Fasa Ke-6 Program Mamogram Percuma Etiqa Bersama NCSM.

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan lafaz perasmian majlis.

IPOH, 6 Jun 2024 - DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Fasa Ke-6 Program Mamogram Percuma Etiqa Bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Casuarina Convention Centre, di sini.

Etiqa yang juga merupakan peneraju insurans dan takaful di Malaysia, melancarkan kesinambungan kerjasama dengan NCSM dengan menyasarkan 6,000 wanita kurang berkemampuan untuk mendapatkan saringan kanser payudara melalui mamogram secara percuma, sekaligus meningkatkan kesedaran orang awam tentang kanser payudara.

Program peringkat nasional yang bernilai RM2.01 juta tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Etiqa, dan dijalankan di bawah program tanggungjawab sosial korporatnya yang dinamakan ‘Etiqa Cares’ dan bagi fasa keenam, ia dijadualkan bermula pada Jun 2024 hingga Jun 2025 akan dijalankan di semua negeri di seluruh Malaysia.

YBhg. Pengerusi Etiqa International Holdings, Datuk R. Karunakaran dalam sembah ucapannya berkata, sehingga Fasa Ke-5 program ini, Etiqa telah membelanjakan sehingga RM9.7 Juta untuk membantu 27,500 wanita yang kurang berkemampuan di semenanjung Malaysia berpeluang untuk menjalani saringan kanser payudara secara percuma.

"Fasa ke-6 program ini turut memperlihat Etiqa membiayai saringan untuk 50,000 rakyat Malaysia melalui Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa di kawasan luar bandar dan bandar.

“Klinik bergerak tersebut menyediakan saringan untuk kanser payudara, serviks dan prostat secara mudah alih di kawasan penerima manfaat. Sehingga kini, 50,000 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat melaluinya,” katanya.

Dalam program tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan turut berkenan merasmikan menyampaikan sijil penghargaan kepada panel-panel hospital yang terlibat bagi menjayakan program itu.

Hadir sama, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak, YABhg. Datin Aezer binti Zubin; isteri kepada YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Rasiah binti Md Nor; isteri kepada YB Yang Di-pertua Dewan Negeri Perak; YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; isteri kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad; YB Ahli-ahli Dewan Negeri Perak; Orang Besar-Orang Besar Jajahan; YBrs. Pengarah Urusan NCSM, Prof Madya Dr. Murallitharan Munisamy serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.