Skip to main content

Tiga Agenda Baharu Ditambah, Pelan Perak Sejahtera 2030 Di Landasan Betul.

YAB Menteri Besar Perak ketika Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030

MANJUNG, 10 Jun 2024 - Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan penambahan tiga agenda baharu dalam Perak Sejahtera 2030 iaitu Pembangunan Sosial, Kelestarian Alam dan Biodiversiti dan Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, penambahan tiga agenda baharu itu menjadikan Pelan Perak Sejahtera 2023 sebagai pelan yang dinamik dan boleh diubah suai serta mampu ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut keadaan.

Menurut beliau, berdasarkan pemantauan dan penilaian yang dibuat pelbagai jabatan dan agensi pelaksana, pelan tersebut kini berada di landasan yang betul dalam memenuhi kesemua sembilan agenda yang ditetapkan bagi mencapai tiga sasaran iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.

“Dalam tempoh dua tahun ini, kerajaan negeri berusaha mewujudkan kestabilan politik melalui dasar-dasar berorientasikan rakyat dan amalan tadbir urus yang baik bagi menarik keyakinan pelabur.

“Hasilnya, kerajaan negeri mampu merencana dan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi termasuk Lumut Maritime Industrial City (LuMIC); Perak Halal Industrial Park (Perak HIP); Silver Valley Technology Park (SVTP); Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Automotive High Technology Valley (AHTV),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, di sini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Yang Di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato’ Mohd Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri; Orang Besar-Orang Besar Jajahan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, dalam tempoh dua tahun pelaksanaan pelan ini, pelbagai inisiatif dan program sejahtera sosial yang dilaksanakan telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Memasuki tahun kedua pelaksanaan Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri kini lebih memfokuskan kepada pelaksanaan dan pemantauan kemajuan Perak Sejahtera 2030 melalui dua komponen, iaitu Petunjuk Prestasi Utama Perak Sejahtera, dan Indeks Kesejahteraan Perak.

“Kerajaan negeri turut menggerakkan usaha memperkasakan lagi Perak Sejahtera 2030 dengan memberdaya  ekonomi dan meneroka sumber pendapatan baru khususnya dalam sektor ekonomi biru dan ekonomi penjagaan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri Perak telah menerbitkan buku Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 setebal 287 muka surat yang memperincikan 234 projek yang dilaksanakan melalui pembangunan strategik tersebut.

Selain itu, buat julung kalinya, kerajaan negeri turut melancarkan dashboard Perak Sejahtera 2030 untuk memantau dan menilai status pelaksanaan setiap projek dan inisiatif yang digariskan dalam pelan berkenaan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.