Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Bertitah Minda Strategik Nabi Muhammad SAW Perlu Dicontohi Untuk Capai Kejayaan.

Baginda bertitah umat Islam perlu mencontohi pendekatan minda strategik Nabi Muhammad SAW

IPOH, 7 Julai 2024 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bertitah umat Islam perlu mencontohi pendekatan minda strategik Nabi Muhammad SAW dalam mencapai pelbagai kejayaan sinonim dengan tema “Minda Strategik Pencetus Ummah Dinamik”.

"Pertama: Baginda tidak gopoh untuk menyampaikan mesej Islam secara terbuka. Baginda juga tidak terburu-buru terus mengisytiharkan bumi Mekah ditadbir urus berpaksikan Islam. Di sebaliknya, Baginda terlebih dahulu meneliti suasana dan persekitaran, lalu memilih pendekatan paling sesuai, memperkenalkan Islam pada peringkat awal melalui gerakan dakwah yang dilakukan secara sulit; bermula dengan bilangan yang kecil, dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat rapat.

"Kedua: Baginda mengatur strategi dalam melakukan hijrah dari Mekah ke Madinah. Berhijrah ke Madinah merupakan langkah strategik memangkinkan perkembangan dakwah Islamiah. Madinah menyediakan persekitaran dan iklim yang menyuburkan pertumbuhan benih Islam yang mula berpohon," titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Perak di Casuarina@Meru, Meru Raya, di sini.

Turut berangkat pada majlis tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim; YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; Yang DiPertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohd Zahir bin Abdul Khalid dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YABhg. Mufti Negeri Perak, SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh; YBhg. Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini serta YBrs. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Tuan Haji Harith Fadzilah bin Haji Abdul Halim.

Dalam majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446H kepada Pensyarah Kanan Universiti Sultan Azlan Shah, Profesor Madya Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan dan Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq (Tokoh Ar-Ridzuan) kepada Felo Penyelidik Utama Universiti Malaysia, Profesor Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli bin Wan Daud.

Kedua-dua penerima tersebut menerima wang tunai sebanyak RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, piala iringan dan sijil.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan turut berkenan menyampaikan Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) kepada guru agama dakwah Teluk Intan, Ustaz Muhammad Firdaus bin Kamarudin; Anugerah Siti Khadijah (tokoh wanita) kepada Puan Hajah Noor Mazlina binti Haji Noor Shah; Anugerah Ikon Asnaf kepada Juruterapi Urutan, usahawan Spa Muslimah Sofie, Puan Robunah binti Abdul Basir dan Anugerah Al-Quba (pengurusan masjid terbaik) kepada Masjid An-Naim, Taman Seri Setia, Teluk Intan.

Selain itu, baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Al-Baqi (pengurusan tanah perkuburan Islam terbaik) kepada Taman Persemadian Islam Seri Manjung.

Para penerima membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 berserta sijil dan plak.

Buat julung kalinya, kategori Anugerah Khas diberikan kepada Cik Fifi Nurfatin binti Marjaidi Hirwan iaitu pelajar Orang Asli Semai yang memperoleh 9A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.