Skip to main content

YAB MB, YB Menteri Saksi Pertukaran MOU LPHP Dan JPN.

YAB Menteri Besar Perak dan YB Menteri ketika menyaksikan pertukaran MOU antara LPHP dan JPN

IPOH, 10 Julai 2024 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tuan Nga Kor Ming, menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) yang akan membuka lembaran baharu dalam pemulihan projek perumahan bermasalah.

Menurut beliau, projek kerjasama tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, membabitkan kerjasama langsung antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu projek perumahan sakit dan terbengkalai.

“Kolaborasi bersejarah ini juga menandakan satu titik perubahan dalam pendekatan kita terhadap masalah perumahan yang sudah sekian lama membelenggu rakyat.

“Kerjasama strategik ini memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu iaitu pemantauan rapi terhadap pembangunan perumahan bermasalah di Perak, pengumpulan data dan maklumat teknikal yang komprehensif serta pemulihan projek-projek terbengkalai secara sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Pertukaran MOU Antara LPHP dan JPN di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif JPN, Dato’ Jayaseelan A/L K.Navaratnam; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi bin Baharin; YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Encik Akmal bin Dahalan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, kerajaan negeri komited untuk memastikan MOU tersebut bukan sekadar pertukaran dokumen tetapi satu pelan tindakan yang akan dilaksanakan dengan penuh dedikasi.

“Setakat ini sebanyak lima projek dikenalpasti sebagai terbengkalai di negeri Perak melibatkan D’Aman Residensi Meru Raya, Ipoh; Taman Tapah Permai, Tapah; Taman Cempaka II di Manjung; Taman Seri Emas, Kampar dan Taman Limau Mas di Beruas.

“Selain itu, data terkini dari JPN menunjukkan terdapat 58 projek perumahan melibatkan 4,007 unit rumah yang dikategorikan sebagai projek sakit di Perak sehingga 32 Mei 2024 dan ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama tersebut dalam menangani isu yang membelenggu rakyat,” ujarnya lagi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.