DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berangkat Ke Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak 2024.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memberi tabik hormat kepada kawalan kehormatan utama.
IPOH, 31 Julai 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2024 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 9.00 pagi disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, YDH Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Azizi bin Hj. Mat Aris, Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin bin Hj. Ludin; Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Dato’ Pahlawan Asri bin Shukor dan Komandan Akademi Tentera Udara, Kolonel Hj. Rafiddee bin Dollah.
Hadir sama, YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); Yang DiPertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohammad Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YB Ahli-Ahli Dewan Negeri; Orang Besar-Orang Besar Jajahan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Majlis dimulakan dengan dendangan lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 102 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dipimpin Asisten Superintendan Mohd Faizan bin Ahmad, dibantu Asisten Superintendan Wan Ahmad bin Fahmi.
Pegawai pembawa panji-panji adalah Inspektor Muhammad Syamil bin Abdul Manan, dengan detasmen perhimpunan seramai 408 pegawai dan anggota pasukan keselamatan merangkumi veteran tentera serta pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kawalan kehormatan utama tersebut telah diiringi oleh Pancaragam PDRM Kontinjen Kedah dengan kekuatan seramai 38 orang di bawah pimpinan Sub Inspektor Abdul Rasid bin Abdullah.
Sebaik kawalan kehormatan utama selesai, tiupan Paluan Akhir (Last Post) dimainkan dan bendera Malaysia kemudian diturunkan.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa oleh Asisten Supritenden Mohd Mahyuddin bin Mohd Mokhtar dan diikuti dengan persembahan deklamasi sajak yang berjudul “Darah Yang Terpercik Di Baju” hasil nukilan Puan Norazimah binti Abu Bakar yang dideklamasikan oleh Koperal Nurul Syuhada binti Azmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Lans Koperal Mohamad Fazreen bin Jamaluddin dari Batalion Ke-9 Regimen Renjer Diraja.
Sebaik selesai, tiupan ‘Rouse’ kemudian dimainkan dan bendera Malaysia dinaikkan semula dengan diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan keluar perbarisan.
Usai majlis, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat ke Majlis Santapan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan sebelum berangkat pulang.
Sumber : Korporat, SUK Perak.