Skip to main content

YAB MB Perak Rasmi Majlis Pecah Tanah Sunway Ipoh Mall.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan perasmian.

IPOH, 1 Ogos 2024 - YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad hadir bagi merasmikan Majlis Pecah Tanah Sunway Ipoh Mall di Sunway Onsen, di sini.

Majlis pecah tanah tersebut merupakan permulaan ke arah merealisasikan pembinaan pusat beli-belah terbesar di negeri Perak menjelang tahun 2027.

Dengan kos keseluruhan pembangunan berjumlah lebih daripada RM1 bilion, pusat beli-belah di Sunway City Ipoh itu akan melebihi satu juta kaki persegi kawasan sewaan bersih (NLA) yang meliputi empat tingkat peruncitan.

Selain itu, pusat beli-belah itu juga akan mempunyai gelanggang luncur ais pertama di Perak, sebuah pusat pameran, pusat boling 36 lorong, pusat sukan pelbagai guna dan pawagam 10 dewan tayangan dengan kapasiti tempat duduk sebanyak lebih kurang 1,500.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad ketika berucap berkata beliau mengiktiraf kepentingan kerjasama awam-swasta sebegini di mana sektor swasta memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial.

"Matlamat utama saya adalah untuk memartabatkan Ipoh sebagai metropolis antarabangsa dan mengembalikan kedudukan Perak sebagai salah satu negeri paling maju dari segi ekonomi di Malaysia.

"Selain itu, Kerajaan Negeri Perak juga berbangga dan memberi sokongan penuh kepada projek transformatif ini yang dilihat akan mentakrifkan semula landskap di sini," katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Encik Loh Sze Yee; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi bin Baharin; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk); YB Ahli Dewan Negeri Hulu Kinta, Encik Muhammad Arafat bin Varisai Mahamad serta YBhg. Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dato' Seri Sir Dr. Jeffrey Cheah.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 02 May 2025, 00:51:03.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.