Skip to main content

Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak Bantu Lebih 14,000 Pelajar.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri ketika menyampaikan hadiah utama Peraduan JomPay dan Menang.

IPOH, 5 Ogos 2024 - Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak yang telah diperkenalkan sejak tahun 1973 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Perak dalam mengangkat kepentingan pendidikan dan sehingga kini dianggarkan seramai lebih 14,000 pelajar menerima manfaat tersebut.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Encik Khairudin bin Abu Hanipah berkata, Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak merupakan satu inisiatif penting kerajaan negeri dalam memastikan anak-anak, tidak kira apa latar belakang keluarga mereka mampu mempunyai akses kepada pendidikan.

"Ianya merupakan salah satu inisiatif dalam menyediakan kemudahan bantuan kewangan berbentuk Pinjaman Tanpa Faedah (Interest-free Loan) kepada warganegara Malaysia khususnya Anak-Anak Perak yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi daripada Diploma sehinggalah PHD.

"Alhamdulillah, melalui inisiatif ini ianya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan para ibu bapa dan pelajar dalam menjelaskan yuran pengajian, yuran kolej serta menampung kos sara hidup semasa menuntut di IPT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Pelajar Cemerlang dan Hadiah Pemenang Peraduan JomPAY & Menang Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak di Foyer Aras G, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Nor Sham binti Rahman; YBhg. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Dato’ Mohamad Fauzi bin Mahson; Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Anak-Anak Melayu dan Bukan Melayu Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Ujar YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah lagi, sekitar awal tahun 2000, kerajaan negeri telah memperkenalkan Pinjaman Boleh Ubah (Convertible Loan) bagi Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda (Degree).

"Ianya merupakan satu bentuk hadiah atau ganjaran bagi mendorong dan memberikan suntikan semangat kepada para pelajar supaya berusaha lebih gigih dan sentiasa memberikan yang terbaik demi mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

"Pengecualian bayaran balik pinjaman ini layak dipertimbangkan kepada para penerima pinjaman di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang memenuhi syarat-syarat seperti tamat pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama (First Class Degree); memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75 dan ke atas atau setaraf dengannya; dan permohonan dikemukakan kepada pihak urus setia dalam tempoh 12 bulan dari tarikh konvokesyen," ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut, YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah telah menyampai Sijil Anugerah Pelajar Cemerlang kepada 31 orang penerima dan 10 hadiah cabutan bertuah peraduan JomPay.

Peraduan JomPAY & Menang Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak telah dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak AMBANK dengan tujuan mempromosikan kaedah bayaran balik pinjaman melalui pekhidmatan JomPAY.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.