Majlis Amanat YB SUK Kepada Kontinjen Perbarisan Psuk Perak Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-67 Tahun 2024.
YBhg. Dato' Nor Sham binti Rahman ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
IPOH, 27 Ogos 2024 - Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg. Dato' Nor Sham binti Rahman telah mewakili YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim bagi menyempurnakan Majlis Amanat YB SUK Kepada Kontinjen Perbarisan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) Perak Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kali ke-67 Tahun 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
YBhg. Dato' Nor Sham binti Rahman berkata dalam ucapannya, beliau mengharapkan kontinjen perbarisan PSUK Perak berjaya merangkul johan dalam acara perbarisan kawad tahun ini.
Menurutnya, segala latihan dan persediaan rapi telah dilaksanakan supaya para kontinjen dapat memberikan persembahan terbaik ketika acara perbarisan terutama di hadapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan orang ramai yang hadir pada 31 Ogos nanti.
Tambahnya lagi, melalui kawad kaki, seseorang itu dapat membina semangat jati diri dan memantapkan peribadi.
"Ia bertujuan untuk mendisiplin dan melahirkan keyakinan diri seseorang di samping mewujudkan sikap kerjasama dan patuh terhadap arahan yang diberikan dari segi mental dan fizikal.
"Jadi, kawad kaki ini bukanlah hanya untuk sambutan kebangsaan sahaja, ia adalah lebih dari itu. Di hadapan saya ini adalah penjawat awam yang telah kita latih untuk menjadi segak, kemas, disiplin dan berketerampilan," jelasnya.
Turut berlangsung, gimik penyerahan baju kontinjen.
YBhg. Dato' Nor Sham binti Rahman telah menyampaikan baju kontinjen kepada Ketua Kontinjen iaitu Encik Mohamad Nazrin bin Ramli.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.