Skip to main content

Perbuatan Persenda Institusi Raja Semakin Didengari- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan titah sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak

KUALA KANGSAR, 9 November 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bertitah di samping isu agama dan kaum yang disensasikan, semakin didengari suara-suara yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja.

Baginda bertitah, sesungguhnya raja pemerintah itu berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan turut berperanan utama, menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa.

"Tamadun yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa, lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif.

"Hal ini menjadi amat relevan, bertambah relevan, malah semakin relevan ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-68 di Balairung Seri, Istana Iskandariah, di sini.

Titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan lagi, belakangan ini, perbuatan mahu mengetepikan adab, malah memijak adat, semakin dipelopori oleh kalangan yang buta huruf terhadap sejarah negaranya, kalangan yang cetek tentang tamadun bangsanya, kalangan yang berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung, minda yang tidak ada akar budaya, lalu melanggar adab dan menyisihkan adat.

"Terlalu berharga untuk tamadun yang telah dibina, dibenarkan untuk dimusnahkan kerana perbuatan yang dicetuskan oleh individu dan organisasi yang longgar pegangan adat, dan kosong fahaman adabnya; cerdiknya tidak boleh diikut dan dungunya tidak boleh diajar, tetapi bernafsu besar untuk memperkenalkan tatacara baharu, bersuara dan berkelakuan sumbang tidak bertempat, mempromosikan tingkah dan laku yang sangat bercanggah dengan kesopanan adat dan kehalusan adab.

"Warga perlu disedarkan untuk menolak perbuatan pencerobohan budaya, dan ditolak secara total kata dan suara, tingkah dan laku yang melanggar sempadan adab dan adat.  Warga tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang tidak bertamadun, miskin adab-papa adat," titah baginda lagi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.