Skip to main content

Sidang Dun Perak Bermula 29 November Ini.

YB Yang di-Pertua Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid meneliti butiran bagi sidang media khas Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua, Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan

IPOH, 21 November 2024 - Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua, Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan akan berlangsung pada 29 November hingga 5 Disember ini.

YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid berkata, seperti kelaziman, sepanjang lima hari persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung dengan tempoh selama tiga jam.

"Pada persidangan kali ini, Penolong Setiausaha Dewan Negeri telah menerima dua pemberitahuan usul,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bilik Sidang Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YB Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Cik Jenny Choy Tsi Jen dan Penolong Setiausaha Dewan Negeri, YBrs. Encik Amir Fadli bin Mohamed Halmi.

"Yang pertama adalah Enakmen Perbekalan Tahun 2025 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2025 yang akan dibawa oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.

“Semua Ahli Dewan Negeri akan diberi peluang untuk mengambil bahagian pada sesi perbahasan nanti. Masa sesi perbahasan yang diperuntukkan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah selama 45 minit seorang manakala bagi Ahli Dewan Negeri yang lain adalah selama 20 minit seorang.

"Keduanya adalah usul Pemilihan Ahli Dewan Negara Malaysia. Setakat ini, seramai dua orang telah dicalonkan dan pencalonan akan dibuka sehingga 22 November 2024.

"Sesi perbahasan dijadualkan berlangsung pada persidangan kedua iaitu 2 Disember 2024,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pada 29 November 2024, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad akan menyempurnakan sesi pelancaran Portal Dewan Negeri Perak yang julung kalinya diperkenalkan.

“Portal Dewan Negeri akan mengandungi pelbagai maklumat antaranya perutusan Yang di-Pertua, sejarah dan latar belakang Dewan Negeri, maklumat cokmar, maklumat kawasan dan media sosial Ahli Dewan Negeri, Undang-Undang Tubuh, Enakmen dan Perintah-Perintah Tetap, senarai Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua, senarai jawatankuasa pilihan dan pilihan khas serta alamat pejabat Yang di-Pertua, Timbalan Yang di-Pertua dan pentadbiran Dewan Negeri," jelasnya.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 22 May 2025, 09:50:19.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.