DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Istiadat Konvokesyen USAS Ke-17.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17
KUALA KANGSAR, 23 November 2024 -DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17 di Dewan Jubli, di sini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad, YBhg. Naib Canselor USAS, Prof. Dato' Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof serta YBhg. Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USAS Berhad, Prof. Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Azlan bin Ghazali.
Hadir sama, YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan YBhg Tan Sri Prof. Dato' Dr. Nordin bin Kardi merangkap Pro Canselor USAS; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah USAS Berhad dan Ahli-Ahli Lembaga USAS; YBhg. Orang Besar-Orang Besar Jajahan Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan.
Pada istiadat tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan merangkap Canselor USAS berkenan menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda bagi Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat (FPTM) serta Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dann Diploma Pascasiswazah bagi Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial (FPISS) kepada para graduan.
Selain itu, baginda juga turut berkenan menyampaikan lima anugerah kecemerlangan akademik iaitu Anugerah Tuanku Canselor kepada Siti Nurzulaikha binti Zulkifli; Anugerah YAB Menteri Besar kepada Nur Masitah binti Awang Kecil; Anugerah Naib Canselor USAS kepada Humaira binti Mohd Hussin; Anugerah Terbaik FPTM kepada Shahirah binti Shamsudin dan Nor Aquilla Annisya binti Nor Azmi serta Anugerah Terbaik FPISS kepada Sakinah Dhaniah binti Mohamad Tarmizi dan Nur Zulaikha binti Zulkipli.
Terdahulu, YBhg. Prof. Dato' Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof ketika menyampaikan sembah ucapan berkata, istiadat tersebut yang berlangsung pada 23 dan 24 November itu menganugerahkan Ijazah kepada 1,798 penerima.
"Ini terdiri daripada tujuh orang penerima Ijazah Doktor Falsafah, 36 orang penerima Ijazah Sarjana, 14 orang penerima Diploma Pascasiswazah, 768 orang penerima Ijazah Sarjana Muda dan 973 orang penerima Diploma.
"Selain itu, pada tahun ini USAS menyambut Jubli Perak dengan 25 tahun penuh cabaran, kejayaan dan transformasi di mana sehingga hari ini USAS berjaya melahirkan seramai 14,045 orang graduan sejak konvokesyen pertama pada tahun 2002," katanya.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.