Skip to main content

Sesi Libat Urus RMK13 Bersama Kerajaan Negeri Perak.

YB Menteri Ekonomi ketika Sesi Madani Mendengar.

IPOH, 25 November 2024 - YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad hari ini telah hadir ke Sesi Libat Urus (SLU) Rancangan Malaysia Ke-13 Bersama Kerajaan Negeri Perak di Hotel Casuarina, Meru Raya, di sini.

Sesi libat urus tersebut dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak itu merupakan salah satu usaha Kerajaan dalam membuat hebahan mengenai penyediaan dokumen RMK13, mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi dalam aspek pembangunan sosioekonomi serta mendapatkan input mengenai keperluan pembangunan di negeri Perak.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, beliau dimaklumkan RMK-13 akan memberi fokus kepada High Growth High Value (HGHV), Ekonomi Hijau, Ekonomi Biru, Ekonomi Usia Emas, Reformasi Pasaran Buruh, dan Reformasi Perumahan.

Menurut beliau, keutamaan itu sangat bersesuaian dengan agenda yang digariskan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

"Dalam konteks Ekonomi Hijau, negeri Perak sedang giat melaksanakan inisiatif seperti peluasan kawasan litupan hutan, promosi pelaburan hijau, dan penggunaan teknologi mampan.

"Manakala bagi Ekonomi Biru pula, tumpuan diberikan kepada perikanan lestari, tenaga boleh diperbaharui, sera pemeliharaan ekosistem marin dan sebagai negeri yang kaya dengan sumber laut, Perak mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam ekonomi biru yang mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan ketika Sesi Libat Urus (SLU) Rancangan Malaysia Ke-13 Bersama Kerajaan Negeri Perak.

Hadir sama, YB Menteri Ekonomi, Tuan Mohd Rafizi bin Ramli; Yang di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohd Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato' Nor Azmie  bin Diron; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Pengarah Bahagian Ekonomi Makro Kementerian Ekonomi, Datuk Dr. Suhana binti Md. Salleh; YB Ahli-Ahli Dewan Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, sesi libat urus ini menjadi landasan untuk memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas kelulusan 500 projek baharu dan sambungan di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas dengan nilai keseluruhan RM1.79 bilion.

"Kelulusan ini menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih progresif dan berimpak tinggi, sekaligus memperkukuh trajektori kemajuan negeri Perak," ujarnya lagi.

Pada sesi libat urus tersebut, turut diadakan sesi pembentangan kerangka RMK13 Dan sesi dialog YB Tuan Mohd Rafizi bin Ramli bersama wakil-wakil Kerajaan Negeri Perak.

Terdahulu pada sebelah pagi, YB Tuan Mohd Rafizi bin Ramli telah mengadakan Sesi Madani Mendengar bersama wakil-wakil mahasiswa, belia, majlis pekerja, pemain industri, NGO dan lain-lain bagi berkongsi pandangan serta cadangan mereka dalam merealisasikan agenda RMK13.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.