TMP 2024 Catat Rekod Cemerlang, Terima Kehadiran 8.4 Juta Pelancong.
YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan penutup TMP 2024
IPOH, 31 Disember 2024 – Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024) melabuhkan tirai dengan kejayaan luar biasa apabila mencatatkan kehadiran 8.4 juta pelancong harian.
YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata, angka tersebut yang direkodkan sehingga November 2024, telah berjaya melepasi sasaran awal sebanyak 8.3 juta pelancong.
Menurut beliau, data yang diperoleh daripada soal selidik Tourism Malaysia juga menunjukkan sehingga September 2024, seramai 627,292 pelancong antarabangsa telah melawat negeri Perak.
"Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 135% berbanding kempen Tahun Melawat Perak 2017.
"Ipoh dan Pulau Pangkor terus menjadi destinasi tumpuan utama, namun yang menarik perhatian kita adalah kejayaan luar biasa yang dicapai oleh daerah Larut, Matang dan Selama dengan mencatatkan 1,050,144 pelawat, menjadikannya daerah ketiga tertinggi menerima pelancong di Perak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Finale Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, di sini.
Hadir sama Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Nor Azidah binti Abd Rahman; YB Encik Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Perak.
Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, produk-produk seperti Muzium Telegraf, Antong Coffee dan Trong Leisure Farm menjadi daya tarikan utama dan menyaksikan peningkatan pengunjung sebanyak 30% berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, peningkatan ini membuktikan bahawa sektor pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada kawasan bandar, tetapi juga memberi limpahan ekonomi kepada kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang kaya dengan keunikan dan warisan tersendiri.
"Bagaimanapun, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa usaha dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pemain industri, dan yang paling penting, rakyat Perak.
"Namun, kejayaan TMP 2024 bukanlah pengakhiran, sebaliknya usaha mempromosi Perak akan terus dipergiatkan sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, melalui Belanjawan 2025, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM11.31 juta untuk pelbagai projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan di seluruh negeri.
Bagi menyambut Tahun Melawat Perak 2026, Kerajaan Negeri Perak turut merangka projek infrastruktur pelancongan jangka panjang di beberapa daerah strategik.
Ia membabitkan pembangunan pusat pelancongan bersepadu di kawasan luar bandar yang berpotensi besar, menaik taraf laluan akses ke destinasi popular, serta memperkenalkan lebih banyak aktiviti ekopelancongan dan pelancongan budaya.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.