Skip to main content

Majlis Aspirasi Keterjaminan Makanan Negeri Perak 2025.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyampaikan ucapan di majlis berkenaan

IPOH, 22 Januari 2025 - Kerajaan Negeri Perak terus komited menjayakan agenda keterjaminan makanan melalui pelbagai inisiatif bagi memenuhi keperluan semasa dan membina asas yang kukuh bagi masa depan.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Aspirasi Keterjaminan Makanan Negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

“Pelbagai langkah telah diambil termasuk memperkenalkan inovasi dalam pengurusan bekalan makanan, mengurangkan pembaziran sumber serta memastikan rakyat mendapat akses kepada makanan yang segar, berkhasiat dan mencukupi.

“Inisiatif seperti penggunaan teknologi moden, pengurusan sumber secara berhemah dan penerapan amalan pertanian mampan memainkan peranan penting untuk menangani cabaran global.

“Dengan populasi negeri yang kini berjumlah 2.5 juta orang, usaha ini memberi fokus kepada pengeluaran makanan berskala besar, penerapan teknologi pintar dalam sektor pertanian, serta pemerkasaan tenaga kerja mahir. Ini merupakan langkah strategik negeri untuk memastikan sektor ini terus berkembang dengan lebih dinamik dan mapan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kursus pertanian pintar telah diperkenalkan bagi membantu petani memahami penggunaan teknologi moden seperti dron, sistem pengairan pintar, dan automasi dalam penanaman.

“Semua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pertanian sebagai tonggak utama keterjaminan makanan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Pada masa yang sama, majlis turut meraikan komitmen dan kerjasama padu daripada jawatankuasa dan petugas Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang telah memperoleh Anugerah Pavilion/ Laman Idol MAHA 2024 dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 sekali gus mengekalkan gelaran juara sebanyak 6 kali berturut-turut.

Hadir sama, YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri; YB Dato' Haji Mohd Zolkafly bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan); ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Perak

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.