Skip to main content

Proton Bakal Jadi Pelabur Terbesar Di Perak Dengan Pembinaan Kilang Kenderaan Elektrik (EV).

YAB Menteri Besar Perak ketika Majlis Perasmian Pecah Tanah Kilang Pengeluaran Kenderaan Elektrik (EV) PROTON

TANJUNG MALIM, 6 Februari 2025 – Pembinaan Kilang Kenderaan Elektrik (EV) Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON), yang dijadualkan siap pada 2026, bakal menjadikan syarikat automotif nasional itu sebagai pelabur terbesar di negeri Perak.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, berkata pembinaan kilang EV milik PROTON ini bukan sahaja sebagai fasiliti pemasangan, tetapi juga merupakan pelaburan jangka panjang yang mencerminkan komitmen Malaysia terhadap teknologi hijau dan kemajuan industri automotif negara.

Menurut beliau, kilang tersebut akan menjadi yang pertama di negara ini yang dibina khusus untuk pemasangan kenderaan tenaga baharu dan merupakan langkah penting dalam memajukan industri EV di Malaysia.

“Komitmen ini berpandukan keyakinan bahawa Malaysia mempunyai kelebihan dalam industri EV, termasuk ekosistem automotif yang kukuh, kepakaran dalam semikonduktor dan elektronik automotif, serta inisiatif kerajaan untuk memasang 10,000 stesen pengecasan EV menjelang 2025.

“Keunikan ini bukan sahaja memberi kelebihan daya saing, tetapi turut menarik pelaburan strategik dari syarikat automotif utama seperti PROTON, yang terus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri EV,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kilang Pengeluaran Kenderaan Elektrik (EV) PROTON di sini, hari ini.

Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); YBrs. Encik Ahmad Jauhari bin Yahya, Ahli Lembaga Pengarah PROTON; YBrs. Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, sejak 2018, PROTON telah melabur sebanyak RM2.3 bilion, membuktikan komitmen jangka panjang syarikat ini dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan dan berdaya saing.

Jelasnya, dengan pembinaan kilang baharu, fasiliti stamping tahun ini, dan gudang moden yang dijadualkan siap pada 2026, PROTON bakal menjadi pelabur terbesar di Perak, sekali gus memperkukuh AHTV sebagai pusat kecemerlangan automotif Malaysia.

“Bagi meningkatkan efisiensi dan daya saing, saluran paip gas ke AHTV kini hampir siap 98% dan dijangka siap pada suku kedua 2025, membolehkan syarikat beroperasi dengan tenaga cekap dan kos yang lebih kompetitif.

“Bukan itu sahaja, keseluruhan kawasan AHTV telah disediakan dengan perkhidmatan 5G. Kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan daya saing AHTV, malah menjadikannya lebih bersedia untuk menerima pelabur berteknologi tinggi,” ujarnya lagi.

Seiring dengan perkembangan ini, Kerajaan Negeri Perak yakin bahawa akses perhubungan dan infrastruktur yang mantap amat penting dalam memajukan industri berteknologi tinggi.

Justeru, selepas projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng dan Kuala Kangsar, Kerajaan Perak turut mempunyai perancangan jangka panjang untuk memperkasakan jaringan logistik.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.