Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Merasmikan Hospital UTAR.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ketika lafaz perasmian Hospital UTAR.

KAMPAR, 19 Februari 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan berangkat merasmikan Hospital Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) di sini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, dan YBhg. Tan Sri Dato' Dr. Sak Cheng Lum, Pengarah UTAR Sdn. Bhd. merangkap ahli Lembaga Pengarah Kolej Tunku Abdul Rahman.

Turut hadir, YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja; YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; serta YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Majlis turut dihadiri oleh YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Ahli-Ahli Dewan Negara Negeri Perak, Orang Besar Jajahan Negeri Perak, YABhg. Tun Dr. Ling Liong Sik, Canselor UTAR; YBhg. Ir. Academician Emeritus Prof. Tan Sri Dato' Seri Dr. Chuah Hean Teik, Pengerusi Lembaga Pengelola Hospital UTAR, serta ketua-ketua jabatan negeri dan agensi.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran sebelum baginda menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Seterusnya, baginda berkenan mengadakan lawatan ke Hospital UTAR bagi melihat kemudahan yang disediakan di sama, diikuti sesi bergambar sebelum berangkat pulang.

Dalam ucapannya, YBhg. Ir. Academician Emeritus Prof. Tan Sri Dato' Seri Dr. Chuah Hean Teik memaklumkan bahawa Hospital UTAR telah menerima 35,000 kunjungan pesakit bagi perkhidmatan di Pusat Pakar Perubatan sehingga Disember lalu.

Menurut beliau, selain menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada warga setempat, hospital ini turut menerima pesakit dari luar Perak.

"Hospital yang terletak dalam Kampus UTAR Kampar ini bukan sahaja mempunyai persekitaran yang luas tetapi juga kedudukan strategik yang memberikan akses mudah kepada komuniti sekitar, termasuk penduduk dari Ipoh, Gopeng, Tapah, Proton City, Tanjung Malim, Teluk Intan, Cameron Highlands, dan Malim Nawar.

"Selain kedudukan strategik, hospital ini dibangunkan secara berperingkat, dan pada peringkat awal, kompleks ini menempatkan 250 katil bagi Perubatan Barat serta 100 katil bagi Perubatan Tradisional dan Komplementari," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hospital UTAR menawarkan perkhidmatan lengkap melalui Pusat Pakar Perubatan serta Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM Centre).

Selain itu, hospital ini turut menyediakan pelbagai kemudahan penting, termasuk perkhidmatan kecemasan 24 jam, ambulans, klinik pesakit luar, saringan kesihatan, endoskopi, bilik pembedahan, dan perkhidmatan perubatan yang lain.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.