Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Sampaikan Hadiah Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perak.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan melawat reruai pameran yang disediakan.

IPOH, 19 Februari 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan berangkat ke majlis penutup dan penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perak 1446H/2025M di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, dan DYAM Raja Di-Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah; YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja; YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; dan YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Turut hadir, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak; YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk); serta ketua-ketua jabatan negeri.

Pada majlis tersebut, Aiman Ridhwan bin Mohamad Ramlan dan Norhazira Nabila binti Mohammad Kamel masing-masing dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Perak 1446H/2025M.

Kedua-dua qari dan qariah itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000, serta plak penghargaan.

Sementara itu, bagi kedudukan naib johan dan tempat ketiga qari, gelaran tersebut disandang oleh Mohd Sahran bin Termizi dan Amir Naufal Rifqi bin Mohd Rashid.

Bagi kategori qariah pula, Puteri Kalimatul Azzua binti Hamid dan Nur Syahira binti Saiful Adli telah dinobatkan sebagai naib johan dan tempat ketiga.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM7,000 dan RM5,000 serta plak penghargaan.

Manakala bagi kategori hafazan 1 hingga 30 juzuk, johan berjaya dirangkul oleh Mohd Adib bin Ahmad Rozaini bagi kategori lelaki dan Siti Sarah binti Muhammad Hanif bagi kategori perempuan.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000, serta plak penghargaan.

Bagi kategori hafazan 1 hingga 20 juzuk lelaki dan perempuan, gelaran johan berjaya diraih oleh Danish Farhan bin Abdul Razak dan Nurhamizah binti Mohd Shafawi, masing-masing membawa pulang wang tunai RM6,000 serta sijil penghargaan.

Dalam perkembangan sama, qari dan qariah terbaik bakal mewakili negeri Perak ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK), yang dijadualkan berlangsung dari 27 April hingga 2 Mei 2025 di Perlis.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.