Skip to main content

Perak Sasar Menjadi Hab Utama Ekonomi Biru Di Malaysia Dan Rantau Asean.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.

LUMUT, 23 Februari 2025 – Perak kini bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam membangunkan ekonomi biru secara menyeluruh dan holistik dengan mengoptimumkan kekayaan sumber alam sekali gus menjadikan negeri ini sebagai hab utama ekonomi biru di Malaysia mahupun rantau ASEAN.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak Darul Ridzuan di Jeti Terapung, di sini.

“Perak mempunyai kelebihan strategik yang harus dimanfaatkan dengan pantai sepanjang 397.5 kilometer (km), 32 pulau kecil yang kaya dengan biodiversiti, Sungai Perak sepanjang 400 km serta 42.7 ribu hektar hutan paya bakau, negeri ini berada dalam kedudukan yang amat baik untuk muncul sebagai peneraju ekonomi biru di Malaysia.

“Pada tahun 2023, Perak menyumbang 22.8% daripada pengeluaran perikanan negara, dengan jumlah mencecah 407 ribu tan metrik. Hasil pendaratan ikan laut kita pula mencecah RM2.53 bilion.

“Perak juga menjadi pengeluar utama kerang di Malaysia dengan pengeluaran 14.5 ribu tan metrik dari kawasan seluas 3,315 hektar di Manjung, Larut Matang, Selama, Kerian, dan Bagan Datuk. Data-data ini jelas membuktikan keupayaan dan daya saing industri perikanan Perak di pasaran domestik dan antarabangsa.

“Dengan asas kukuh dalam sektor perikanan, Perak kini bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam membangunkan ekonomi biru secara holistik, termasuk melalui pembangunan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), pengukuhan pelancongan maritim dan penerokaan tenaga boleh diperbaharui.

“Projek berskala besar ini bukan sekadar pembangunan infrastruktur – ia adalah pemangkin yang akan merevolusi sektor industri maritim dan logistik negeri Perak. Malah kerjasama dengan Port of Antwerp-Bruges, Belgium memperkukuh lagi kedudukan Perak sebagai hab perdagangan global,” jelasnya.

Selain itu, kerajaan negeri komited dalam pemuliharaan alam sekitar, termasuk pemulihan terumbu karang di Kepulauan Sembilan, pembangunan semula Hutan Simpan Kuala Gula, dan penggubalan Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) bagi memperkukuh pengurusan sumber air.

Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Haji Mohd Zolkafly bin Harun, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan; Puan Haslinda binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN); Encik Shamsul Ridzuan bin Idris, Pegawai Daerah Manjung; Encik Muhammad Faizal Shah bin Safian Suri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.