Skip to main content

Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2025.

YAB Menteri Besar Perak sempat beramah mesra bersama pelanggan yang hadir sebelum memulakan program

IPOH, 24 Februari 2025 - Kerajaan Negeri Perak terus komited dalam menyantuni dan mendengar permasalahan rakyat secara semuka dan efisien melalui penganjuran Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 1 2025.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata, program ini yang diperkenalkan sejak 2022 diteruskan lagi pada tahun ini dengan menyediakan platform terbaik kepada rakyat untuk berinteraksi secara langsung dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

"Pada hari ini, sebanyak 137 aduan telah diterima dan kerajaan negeri mengambil serius setiap permasalahan yang dibangkitkan dan beriltizam untuk menyelesaikannya dengan teliti dan berkesan.

"Seperti kebiasaan, aduan yang diterima kebanyakannya berkaitan urusan tanah. Namun, ramai juga yang berurusan dengan perkara melibatkan Exco dan agensi berkaitan, termasuk masalah perumahan, tugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), serta keperluan kemudahan seperti jalan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia, di sini.

Hadir sama YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi,penganjuran HBP Kerajaan Negeri Perak Siri 1 Tahun 2025 ini melibatkan 92 kaunter khidmat pelanggan, 10 reruai pameran, dan 7 kaunter bergerak yang memberikan akses lebih luas kepada rakyat.

"Selain itu, Jualan Murah dan Jualan Rahmah turut dianjurkan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih rendah, khususnya sebagai persiapan menyambut Ramadan.

"Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan  program ini, khususnya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat daerah, PBT, serta jabatan dan agensi terlibat," ujarnya lagi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.