Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Titah Kepincangan Masyarakat Dan Penyakit Sosial Kerana Manusia Hilang Adab.

Baginda bertitah ketika berkenan merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru

IPOH, 25 Februari 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bertitah kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang berlaku bukan kerana negara tidak mempunyai undang-undang tetapi kerana manusia sudah kehilangan adab.

“Pelbagai kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang melanda dunia pada hari ini hendaklah dilihat sebagai bukti yang menunjukkan bahawa sekadar memiliki undang-undang dan perundangan tidak membawa sebarang makna.

“Penipuan, perlakuan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penindasan, penyeksaan, persengketaan, pertelingkahan, perebutan kuasa, peperangan, pembunuhan semakin berlaku, bukan kerana kita tidak mempunyai cukup undang-undang. Segala-galanya berlaku kerana manusia sudah kehilangan adab.

“Kepentingan adab sebelum menuntut ilmu ditegaskan oleh para ulama. Para ulama lebih mendahulukan adab daripada ilmu. Seseorang yang menguasai ilmu tanpa memiliki adab akan berakhir sebagai ilmuwan yang tempang, dibimbangi akan mendakyah masyarakat dengan ilmu yang songsang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja; YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Syeikh Dr. Usamah Al-Sayyed Mahmood Muhammad Sa’ad Al-Azhari, Menteri Wakaf Republik Arab Mesir; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan YBhg. SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Negeri Perak.

Turut hadir, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.

Titah baginda lagi, ummah kini sudah tidak lagi mementingkan rohani, sebaliknya dibelenggu dengan habuan kebendaan dan keduniaan.

“Masjid dan surau yang dibangunkan bertujuan sebagai tempat untuk menyatupadukan ummah, semakin dijadikan gelanggang untuk menyebarkan dakyah dan fitnah.

“Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti, bersama Orang Besar Jajahan, Jawatankuasa Masjid dan Surau serta ahli kariah hendaklah melakukan pemantauan yang rapi, mengenal pasti pihak-pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, berjalan tempang dan berperangai songsang.

“Pihak-pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan, sewajarnya melakukan siasatan secara adil dan saksama, meneliti fakta dan kesahihan terhadap perbuatan-perbuatan yang dilaporkan telah melanggar adab bekerja.

“Masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan-kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah yang songsang,” titah baginda.

Dalam majlis berkenan, baginda turut berkenan melancarkan dua buah buku bertajuk 'Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah' dan 'Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah' hasil karya YBhg. SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh.

Muzakarah kali ini mendapat penyertaan hampir 400 orang peserta kalangan mufti, jabatan kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi termasuk dari Indonesia, Thailand, Kemboja, Singapura dan Brunei.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.