Skip to main content

Notis Kekosongan Kerusi DUN Ayer Kuning Diserah Secara Rasmi Kepada SPR.

Hadir sama, YB Cik Jenny Choy Tsi Jen dan Encik Amir Fadli bin Mohamed Halmi.

IPOH, 28 Februari 2025 - Notis kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning (N.48) diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, secaranya rasminya telah menyempurnakan penyerahan notis tersebut kepada Encik Mohd Nazri bin Ismail, Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak di Bilik Sidang Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid berkata, Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak telah menerima pemakluman daripada YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berhubung kematian Ahli Dewan Negeri Perak N.48 kawasan Ayer Kuning iaitu Allahyarham Encik Ishsam bin Shahruddin.

“Sehubungan itu, selaras dengan Perkara 36 (5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka ini hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kekosongan itu berlaku,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Allahyarham merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sering mengutarakan isu-isu daripada kawasannya.

"Allahyarham juga aktif dan komited dalam badan legislatif Negeri Perak dan turut dilantik dalam dua Jawatankuasa Dewan Negeri iaitu Jawatankuasa Kebajikan Ahli dan Jawatankuasa Pilihan Khas Haiwan Berkeliaran Negeri Perak.

“Di kesempatan ini, bagi pihak Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh di sisi Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid percaya SPR akan mengambil kira Persidangan DUN Perak yang dijangka akan bermula pada pertengahan April dalam menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

“Kita percaya SPR tentulah mengambil kira perkara yang tersebut (dalam menentukan tarikh-tarikh penting itu),” katanya.

Hadir sama, YB Cik Jenny Choy Tsi Jen, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan Encik Amir Fadli bin Mohamed Halmi, Penolong Setiausaha Dewan Negeri.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Friday 02 May 2025, 00:51:03.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.