Penambahbaikan, Penaiktarafan LTSAS Demi Keselesaan Dan Kemudahan Pengguna Masa Hadapan.
YAB Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan.
IPOH, 25 April 2025 – Projek Penambahbaikan dan Penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) merupakan inisiatif yang bertujuan menjamin keselesaan serta kemudahan pengguna pada masa hadapan.
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, menyatakan bahawa projek bernilai RM8 juta ini adalah inisiatif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk menyediakan infrastruktur yang kondusif, selain meningkatkan kapasiti penumpang bagi memenuhi unjuran keperluan pada masa akan datang.
“Saya tekankan bahawa setiap projek dan program demi rakyat hanya akan berjaya sekiranya disokong dengan sinergi dan kerjasama padu daripada Kerajaan Persekutuan, kementerian, agensi, Kerajaan Negeri, pihak swasta serta seluruh lapisan kepimpinan masyarakat.
“Seperti halnya dengan LTSAS, kerjasama strategik amat penting, bukan sahaja dalam pembangunan negara, malah dalam memacu sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Projek Penambahbaikan dan Penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini.
Turut hadir, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan; YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan; YBhg. Dato’ Jana Santhiran a/l Muniayan; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Datuk Mohd Izani bin Ghani, Pengarah Urusan MAHB serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Tambah YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, kerjasama strategik ini juga berupaya mengurangkan tekanan terhadap dana kerajaan melalui penyertaan pihak-pihak berkepentingan.
“Hasil daripada kesepakatan ini, kita mampu membina daya tahan domestik dan mengukuhkan keyakinan rakyat bahawa kita boleh berdikari serta maju dengan kekuatan sendiri dan jaringan serantau khususnya di ASEAN, China, India, Australia, Jepun, Korea di samping membuka pasaran baharu di Eropah serta Amerika Latin.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa untuk bersaing di peringkat antarabangsa, kita perlu menyediakan kemudahan dan prasarana yang berkualiti tinggi, yang digerakkan oleh kecekapan dan integriti semua penjawat awam,” ujarnya lagi.
Antara penambahbaikan utama di LTSAS termasuk peluasan ruang terminal melebihi 10 peratus kepada 3,257 meter persegi; peningkatan kapasiti pengendalian penumpang pada waktu puncak daripada 240 kepada 510 penumpang sejam; serta pembesaran ruang istirahat daripada 71 kepada 270 meter persegi.
Selain itu, pemasangan tempat duduk baharu yang mampu menampung sehingga 80 peratus permintaan turut menyumbang kepada penciptaan persekitaran yang lebih luas, selesa dan efisien, membolehkan lapangan terbang ini mengendalikan tiga kali ganda jumlah penumpang pada waktu puncak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.