Skip to main content

Malaysia Tuan Rumah Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 Buat Julung Kali.

YBhg. Ketua Audit Negara selepas merasmikan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025.

PUTRAJAYA, 27 Mei 2025 – Malaysia hari ini mencatat sejarah apabila buat julung kalinya menganjurkan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025, bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 serta pelantikan YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit ASEAN.

YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, berkata bahawa ini merupakan satu pencapaian besar dalam usaha bersama untuk memperkasa tadbir urus di seluruh ASEAN. Katanya, ia bukan sekadar simbolik, tetapi satu tanda komitmen bersama dalam mempertingkatkan tadbir urus dalam semua sektor masyarakat.

“Tema ‘Inclusive and Sustainable Auditing for a Progressive ASEAN’ amat bertepatan kerana ia menggariskan visi kolektif untuk mempromosikan amalan pengauditan yang bukan sahaja kukuh dan bersedia menghadapi masa depan, tetapi juga bersifat inklusif serta memberi kesan yang mampan.

“Selain itu, persidangan yang diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur ini mencerminkan kematangan ASEAN sebagai sebuah rantau yang bukan sahaja komited terhadap kemakmuran bersama, tetapi juga memikul tanggungjawab bersama,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi semasa Majlis Peluncuran Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Abd Shukor bin Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri; H.E. Dr. Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; wakil-wakil delegasi ASEAN serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Majlis turut menyaksikan penganjuran Sesi Dialog Tertinggi dengan topik perbincangan “Meningkatkan Pengauditan Sektor Awam Melalui Susulan Audit” (Enhancing Public Sector Auditing Through Follow-up Audit) yang melibatkan ahli panel terdiri daripada YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi; H.E. Mr. Gamaliel Asis Cordoba, Pengerusi Suruhanjaya Audit Filipina; dan YBrs. Encik Pranoto, Ketua Pengarah VII, Badan Pemeriksa Keuangan Republik Indonesia.

Fokus perbincangan adalah perkongsian pengalaman negara masing-masing dalam melaksanakan susulan audit serta kepentingan inisiatif ini dalam memacu reformasi dasar dan meningkatkan kepercayaan awam.

Persidangan selama dua hari yang berlangsung di PICC ini menghimpunkan seramai 2,243 peserta dari sektor awam dan swasta, termasuk wakil-wakil Institusi Audit Tertinggi (SAI) dari negara-negara ASEAN serta rakan antarabangsa seperti Brunei, Filipina, Kemboja, Laos, Maldives dan Yaman.

Selain itu, persidangan ini turut disokong oleh pelbagai rakan strategik termasuk badan profesional dan firma audit global seperti Institut Akauntan Malaysia (MIA), Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM) serta Deloitte, Ernst & Young (EY), Klynveld Peat Marwick Goerdeler (KPMG) dan PricewaterhouseCoopers (PwC).

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Tuesday 10 June 2025, 09:31:00.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.