Skip to main content

Program Kepimpinan Kendiri Perkasa Kumpulan Pelaksana Negeri Perak

1. Cik Suriati binti Shahar menyampaikan ucapan sempena bengkel tersebut

Cik Suriati Binti Shahar Menyampaikan Ucapan Sempena Bengkel Tersebut

IPOH, 29 Mei 2025 – Dianggarkan seramai 100 orang pegawai awam daripada Gred 2 hingga Gred 8 dari pelbagai jabatan di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, termasuk Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan telah menyertai Program Kepimpinan Kendiri: Memacu Kecemerlangan Kumpulan Pelaksana yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru.

Bengkel yang bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang ini dianjurkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Razak School of Government (RSOG).

Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Cik Suriati binti Shahar, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Organisasi), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Antara penceramah jemputan yang turut menjayakan program ini ialah Tuan Haji Azham bin Zainal Abidin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Jurulatih Bertauliah RSOG serta Tan Sri Dato’ Seri Utama Zainal Rahim bin Seman, Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara dan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Malaysia.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran bahawa kepimpinan bukan hanya tanggungjawab ketua atau pegawai atasan semata-mata, tetapi harus dipupuk di semua peringkat dalam organisasi.

Antara objektif utama program termasuk meningkatkan keupayaan kepimpinan kendiri dalam kalangan penjawat awam; membantu peserta mengenal pasti kekuatan, kelemahan serta gaya kepimpinan diri serta mempertingkatkan kebolehan membuat keputusan secara rasional dan memperkukuh keupayaan mengurus perubahan dalam organisasi.

Menurut Cik Suriati binti Shahar dalam ucapannya, program ini juga memberi penekanan kepada pembangunan jati diri dan integriti dalam kalangan Kumpulan Pelaksana yang merupakan tulang belakang kepada kejayaan pelaksanaan dasar dan keputusan organisasi.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Monday 23 June 2025, 09:05:57.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.