DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Tunai Solat Sunat Aidiladha.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad bersalaman bersama YABhg. SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh.
IPOH, 7 Jun 2025 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) Mahadi, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid.
Hadir sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara); YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak dan YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak.
Turut hadir, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YABhg. SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Negeri Perak; YBhg. Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja Dato' Ab Wahab bin Dato' Seri Azizul Hassan, Orang Besar Jajahan Kinta; YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan ketua-ketua jabatan serta agensi.
YBrs. S.F. Tuan Haji Abd Farid bin Haji Salleh, Imam Besar Masjid Negeri yang mengimamkan solat sunat turut menyampaikan khutbah.
Dalam khutbahnya yang bertajuk "Menyelami Falsafah Tersirat di Sebalik Peristiwa Korban", beliau mengingatkan jemaah bahawa ibadah korban bukan sekadar penyembelihan haiwan ternakan, tetapi lambang keikhlasan, pengorbanan, ketaatan dan pengabdian diri kepada Allah SWT.
"Semangat ithar – iaitu mendahulukan kepentingan orang lain lebih daripada diri sendiri – harus disemai dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan, daripada ibadah zakat, sedekah, hingga kepada adab sopan di jalan raya dan sikap tolong-menolong sesama masyarakat," ujar beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS harus diteladani secara mendalam, kerana ‘Ismail’ dalam kehidupan hari ini boleh menjelma dalam pelbagai bentuk – harta, kuasa, kedudukan, dan nafsu duniawi – yang perlu dikorbankan demi mengabdikan diri kepada Allah.
Khutbah tersebut turut menyentuh kepentingan memanfaatkan Aidiladha sebagai ruang memperkukuh silaturahim dan semangat perpaduan ummah.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan mereka yang menjalankan tanggungjawab fardu kifayah semasa musim perayaan.
Mengakhiri khutbahnya, beliau memanjatkan doa agar negara sentiasa dilindungi daripada bencana, dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan adil, serta mendoakan kesejahteraan saudara seagama khususnya di Palestin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.