Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Beradat Perkhidmatan Awam Negeri Perak 2025.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan berangkat ke Majlis Santapan Beradat Perkhidmatan Awam Negeri Perak Tahun 2025.

IPOH, 8 Julai 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Santapan Beradat Perkhidmatan Awam Negeri Perak Tahun 2025 yang berlangsung di Casuarina@Meru, di sini, malam tadi.

Turut berkenan mengiringi keberangkatan Baginda, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah bersama DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Majlis turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak bersama isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YTM Raja Kecil Tengah Perak, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) bersama YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah binti Mohd Noor; serta YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak bersama isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah.

Turut hadir, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Dalam sembah ucapannya, YB Dato’ Ahmad Suaidi menyifatkan majlis yang diadakan itu sebagai satu perhimpunan luhur yang mengangkat semangat mendaulatkan institusi raja berpelembagaan, bukan sekadar wadah pertemuan, malah menjelma sebagai lambang penghormatan serta iltizam murni seluruh warga perkhidmatan awam negeri.

Beliau turut menyeru penjawat awam negeri Perak untuk terus memperteguh azam dan berkhidmat dengan penuh integriti demi negeri dan rakyat.

“Penjawat awam Negeri Perak sentiasa menjunjung hasrat murni Tuanku dalam mengusahakan setiap inci bumi negeri ini agar membawa kemajuan kepada yang mundur, pembelaan kepada yang lemah, dan peluang kepada yang terpinggir.

“Kami juga akan bertekad untuk terus menyemai semangat khidmat, membaja amanah, dan memetik hasil berupa kesejahteraan rakyat serta kemuliaan institusi,” ujarnya.

Majlis anjuran bersama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dan Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Cawangan Perak itu bertujuan memupuk budaya hormat-menghormati serta saling menghargai antara penjawat awam, di samping menjadi platform memperkukuh jaringan profesional dalam kalangan pegawai.

Ia juga merupakan acara tradisi perkhidmatan awam yang terus mempererat hubungan antara pemimpin dan warga pentadbiran, mencerminkan semangat kesatuan dalam menjunjung amanah dan aspirasi negeri.

FaLang translation system by Faboba
  • Copyright © 2020 Perak State Government. Last Updated : Thursday 27 November 2025, 04:19:41.
Best Display: 1600 x 900 Pixels via Mozilla Firefox at RESPONSIVE SET UP.